Anda di sini

PBDSB yakin terima undi majoriti Dayak di DUN Dudong

Advertisement
Julius semasa menyampaikan ceramah sempena kempen PRN12 di sebuah rumah panjang di Dudong, semalam.
Julius semasa menyampaikan ceramah sempena kempen PRN12 di sebuah rumah panjang di Dudong, semalam.

KUCHING: Masyarakat Iban di Dudong mahukan DUN berkenaan diwakili Dayak Iban, kata Setiausaha Agung Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Julius Enchana.

Beliau yang juga merupakan calon DUN Dudong yakin PBDSB akan menerima majoriti undi dari kaum Iban pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) di Dudong.

Menurut beliau, sepanjang tempoh berkempen, masyarakat Iban di DUN itu meluahkan keinginan yang terpendam selama 30 tahun agar kerusi berkenaan dikembalikan semula kepada Iban kerana selepas Jawan Empaling tiada lagi yang mewakili kaum Iban di Dudong.

“Kita harus melihat, terdapat lima calon Cina yang bertanding di DUN ini, makanya kita Dayak Iban harus bersatu hati dan terjemahkan luahan berkenaan ke kertas undi. Kenapa Dudong menjadi rebutan kali ini?

"Sekiranya DUN Dudong dilakukan persempadanan semula, pembangunan dan perancangan yang lebih efektif dapat dilaksanakan" katanya pada ceramah yang diadakan di sebuah rumah panjang di Dudong, semalam.

Menurut Julius, DUN Dudong terlalu besar dan terbahagi kepada dua iaitu luar bandar dan bandar maka agak sukar pembangunan seimbang dilakukan. 

Beliau dapati isu juga berbeza diutarakan rakyat kepadanya sepanjang tempoh kempen ini. 

"Kita juga mendapat sokongan dari masyarakat Cina Dan Melayu/Melanau. Saya amat kagum dan ini adalah masa Dayak merebut peluang ini bersatu hati mengembalikan DUN Dudong kepada Dayak Iban," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement