Anda di sini

Majikan tidak benar pekerja keluar mengundi boleh diambil tindakan

Advertisement
 

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan kepada majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) esok. 

SPR menerusi kenyataan hari ini berkata, mana-mana majikan yang tidak membenarkan suatu tempoh kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan.

Ia katanya mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan.

“Pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak. 

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang atau waktu yang telah diwartakan. 

“Namun, pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya.

Suruhanjaya memaklumkan sebanyak 1,866 Pusat Mengundi dan 3,555 Saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian dengan seramai 46,565 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian esok.

Manakala seramai 1,213,769 orang pengundi bakal mengundi di PRN12 esok. 

SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.

“SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini iaitu sehingga jam 11.59 minit malam, 17 Disember 2021.

“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi,” tegasnya.

Katanya mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung semasa Hari Mengundi. 

“Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang,” menurutnya lagi.

  • oleh
  • Advertisement