Anda di sini

GPS sekarang bukan BN yang dulu

Advertisement
 

KAPIT: Perubahan sistem pelaksanaan projek dan program pembangunan diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) bakal memacu landskap kemajuan Negeri Bumi Kenyalang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang menyanggah tanggapan sinis segelintir pihak menjelaskan barisan kepemimpinan GPS tidak sama dengan zaman ketika bersama dengan Barisan Nasional (BN).

Katanya, hal itu kerana GPS yang diterajui Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerapkan pelbagai siri pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan negeri, khususnya membabitkan kepentingan pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur untuk kemudahan rakyat Sarawak.

“Dalam aspek prestasi pelaksanaan projek dan program pembangunan infrastruktur, GPS sudah lama rintis usaha ini, malah kita akan buat lebih banyak lagi. 

“Seperti ditekankan Ketua Menteri (Abang Johari), kita boleh merencana dan melaksana lebih banyak pembangunan sebab mempunyai sumber pendapatan yang lebih meluas sekarang dan sistem penyampaian lebih baik.

“Menerusi pendekatan ini, kita mampu percepatkan projek pembangunan menerusi cetusan idea Ketua Menteri dengan menubuhkan agensi pembangunan supaya semua wilayah yang memerlukan pembangunan diberi lebih tumpuan berbanding sebelum ini.

“Agensi pembangunan ini juga berfungsi berteraskan pendekatan ‘bottom-up’ (bawah ke atas), bermaksud projek yang diperlukan rakyat adalah cetusan idea mereka  dan mengikut keperluan masing-masing,” katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.

Susulan perbincangan di peringkat penduduk mengikut wilayah dan kawasan, Alexander berkata penyenaraian projek pembangunan, yang antara lain contohnya mencakupi kemudahan jalan, bekalan air atau telekomunikasi akan diutarakan.

Maklum balas sedemikian, katanya, akan dikemukakan kepada agensi pembangunan wilayah untuk proses penyaluran peruntukan, sekali gus berupaya mempercepatkan pelaksanaan projek berkaitan.

“Hanya dalam tempoh dua tahun pertama, di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) di Kapit, semua projek kini di pelbagai peringkat pelaksanaan, menerusi dana awal sebanyak RM1.5 bilion.

“Semua projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh dua hingga dua tahun setengah, bergantung kepada butiran projek dan setakat ini semuanya berjalan dengan lancar.

“Maka, bila orang selalu cakap momentum kemajuan GPS sekarang sama dengan BN dulu, ia tidak betul kerana sekarang kita sudah ada sistem utnuk mempercepatkan pembangunan dan bakal menjadi pemacu perubahan landskap pembangunan di Sarawak. 

“Dalam erti kata mudah, orang sama, tapi dengan idea baharu. Bukan seperti diomong-omongkan pembangkang,” katanya.

Advertisement