Anda di sini

Hospital Baharu Sri Aman beroperasi sepenuhnya April tahun depan 

Advertisement
Khairy dan Fadillah meninjau sebuah bilik rawatan yang disediakan di Hospital Baharu Sri Aman sempena majlis penyerahannya hari ini. 
Khairy dan Fadillah meninjau sebuah bilik rawatan yang disediakan di Hospital Baharu Sri Aman sempena majlis penyerahannya hari ini. 

SIMANGGANG:  Hospital Baharu Sri Aman yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kemudahan imbasan tomografi berkomputer (CT) dijangka beroperasi sepenuhnya April tahun depan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata dengan beroperasinya Hospital Baharu Sri Aman itu, kapasiti kesihatan awam khasnya di Sri Aman serta kawasan sekitarnya dapat dipertingkatkan.

Beliau berkata hospital itu apabila beroperasi kelak akan menaik taraf sebahagian besar fungsi perkhidmatan Hospital lama Sri Aman sebagai hub utama fasiliti kesihatan di bahagian Sri Aman.

Tambahnya lagi dengan adanya Hospital Baharu Sri Aman, penduduk dari bahagian kedua itu tidak perlu lagi ke Kuching untuk mendapatkan rawatan pakar di Hospital Umum Sarawak (HUS) melainkan bagi kes-kes tertentu.

"Saya tahu hospital ini sangat dinanti-nantikan. Hospital lama sudah beroperasi sejak 1964, maka hospital ini apabila beroperasi kelak akan menggantikan sebahagian besar perkhidmatan disediakan hospital lama (Sri Aman).

"Hospital baharu ini mempunyai 108 katil selaras dengan sarasan kerajaan mencapai nisbah 2.06 katil  bagi setiap setiap 1,000 penduduk menjelang 2025," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof selepas menghadiri  Majlis Penyerahan Hospital Baharu Sri Aman dari Jabatan Kerja Raya Malaysia kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, hari ini.

Khairy berkata projek Hospital Baharu Sri Aman itu juga menunjukkan tekad kerajaan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan akses perkhidmatan kesihatan kepada rakyat khususnya yang setempat di Sri Aman. 

Beliau berkata Hospital Baharu Sri Aman akan dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya perubahan am, pembedahan am, ortopedik, paediatrik, tiga dewan bedah (satu simpanan), enam bilik bersalin, unit pengimejan dilengkapi imbasan CT dan ICU yang sebelum ini tidak disediakan di Hospital Sri Aman.

"Penjawatan asal (hospital lama Sri Aman) ialah seramai 405 terdiri daripada pelbagai skim dan perkhidmatan tetapi dengan adanya hospital baharu ini Kementerian Kesihatan Malaysia telah meluluskan tambahan sebanyak 548 penjawatan untuk memberi perkhidmatan terbaik di sini," katanya.

Sementara itu Fadillah berkata fasa pertama projek Hospital Baharu Sri Aman melibatkan kerja-kerja tanah dan ia sangat mencabar kerana permukaan tapak yang tidak rata.

Keadaan itu katanya telah menyebabkan kontraktor dilantik perlu menunggu dua tahun selepas kerja-kerja tanah selesai bagi memastikan tapak benar-benar stabil sebelum fasa kedua iaitu pembinaan bangunan dan penyediaan kemudahan bermula.

"Surat setuju terima projek dikeluarkan pada 2015, kalau mengikut jadual asal ia siap pada 2018 tetapi disebabkan pelbagai cabaran akhirnya tempoh penyiapannya dilanjutkan dan syukur pada hari ini ia dapat disiapankan.

"Dengan kos hampir RM187 juta, hospital ini menempatkan 108 katil dan pelbagai kemudahan perubatan untuk penduduk Sri Aman khasnya serta kawasan sekitarnya," katanya.

Advertisement