Anda di sini

Status daerah hadiah istimewa KM kepada warga Gedong 

Advertisement
Naroden (dua kanan) menghadiahkan kain tenunan songket kepada Abang Johari. Turut kelihatan Brahim (dari kiri), Nancy dan Jaul. Gambar oleh Roystein Emmor
Naroden (dua kanan) menghadiahkan kain tenunan songket kepada Abang Johari. Turut kelihatan Brahim (dari kiri), Nancy dan Jaul. Gambar oleh Roystein Emmor

GEDONG: Penarafan Gedong sebagai daerah penuh merupakan hadiah istimewa daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kepada seluruh warga Gedong. 

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong Datuk Naroden Majais berkata dengan penarafan ini apa yang layak untuk sebuah daerah akan ada di Gedong seperti Pejabat Daerah, Pejabat Pertanian, hospital, balai polis dan lain-lain. 

“Hari ini adalah detik bersejarah bagi Gedong yang mana dulunya dikenali sebagai sebuah perkampungan kecil kini telah diangkat sebagai sebuah daerah. 

“Impian kita adalah untuk melihat Gedong selain stadium ada hotel, kawasan komersial, perumahan dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan lain-lain. 

“Untuk pastikan semua ini tercapai, saya rela beri laluan kepada Ketua Menteri untuk bertanding di Gedong kerana saya percaya hanya pemimpin yang kuat dan berkuasa seperti Ketua Menteri dapat bangunkan Gedong dengan cepat,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Gedong Sebagai Daerah di Dewan Datuk Patinggi Ali di sini hari ini. 

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Residen Bahagian Samarahan Brahim Lumpu selaku penganjur majlis. 

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion berkata Gedong sebelum ini di bawah pentadbiran Daerah Simunjan dengan keluasan 2,218 kilometer persegi dengan jumlah penduduk seramai 49,000 orang. 

Dengan menaik taraf Gedong kepada daerah, beban tugas Pejabat Daerah Simunjan akan diringankan dan seterusnya penyampaian perkhidmatan kerajaan akan menjadi lebih responsif dan mudah bagi memenuhi keperluan penduduk Gedong. 

“Pewujudan pentadbiran Daerah Gedong adalah sangat bertepatan dalam mendokong dan mengkoordinasikan pelaksanaan pelbagai program dan projek di Bahagian Samarahan melalui Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA),” katanya. 

Jaul turut berkata pengiktirafan Gedong sebagai daerah baharu merupakan cetusan idea daripada Ketua Menteri sendiri. 

Beliau juga percaya ia adalah hadiah amat berharga daripada kerajaan negeri kepada penduduk di Gedong. 

  • oleh
  • Advertisement