Anda di sini

Pengiktirafan Kuching sebagai Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO bantu rangsang ekonomi kreatif 

Advertisement
Abang Johari melakukan simbolik pelancaran projek Pembangunan Semula Kolam Renang MBKS menjadi Taman Tema Air dan Pusat Projek Gastronomi Bandar Kreatif UNESCO di Kuching malam tadi. - Gambar oleh Roystein Emmor.
Abang Johari melakukan simbolik pelancaran projek Pembangunan Semula Kolam Renang MBKS menjadi Taman Tema Air dan Pusat Projek Gastronomi Bandar Kreatif UNESCO di Kuching malam tadi. - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Pengiktirafan bandar raya Kuching dalam Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO (UCCN) dilihat mampu membantu Sarawak mencapai status berpendapatan tinggi melalui ekonomi kreatif.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keahlian UCNN akan melengkapkan agenda dasar sedia ada negeri.

“Ia akan menyokong matlamat kita untuk bergerak ke arah pendigitalan dan inovasi dalam bidang gastronomi dan saluran kreatif lain.

"Sama ada dalam kraf, seni, pembikinan filem, televisyen, muzik atau budaya tradisional, komuniti kreatif kita akan terus menunjukkan bakat dan imaginasi mereka. Ekonomi kreatif adalah batu loncatan yang ideal ketika kita membangun semula selepas berdepan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Pembangunan Semula Kolam Renang Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menjadi Taman Tema Air dan Pusat Projek Gastronomi Bandar Kreatif UNESCO di Jalan Padungan di sini, malam Sabtu.

Pada November lalu, bandar raya Kuching disenaraikan sebagai bandar pertama di Malaysia yang menyertai 48 bandar lain di seluruh dunia sebagai Bandar Gastronomi Kreatif UNESCO di bawah UCCN untuk warisan dan kepelbagaian makanannya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri sedang melaksanakan dasar pembaharuan bandar yang bertujuan untuk membangunkan semula beberapa kawasan bandar dan pekan di negeri ini.

Mengambil contoh katanya, Padungan merupakan sebahagian daripada bandar warisan Kuching.

“Oleh itu, pihak berkuasa atau kerajaan Sarawak melalui program pembaharuan bandar perlu menaik taraf kemudahan di sini tanpa menjejaskan nilai warisannya. Inilah yang kita panggil sebagai pembangunan mampan.

“Dan sebentar tadi, saya telah diberi taklimat mengenai projek ini (pembangunan semula kolam renang MBKS) yang direka bentuk secara mampan dan ia merupakan gabungan budaya serta cara hidup masyarakat di Kuching,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng dan pasukannya atas idea baharu untuk menambah baik kolam renang serta pertanian di bandar ini. 

“Kalau di Singapura, mereka panggil ‘vertical farming’ dan ia adalah sejenis pertanian menegak.  

“Teknik tanaman ini digunakan di dalam bangunan. Oleh itu, kita sama maju dengan Singapura sekarang,” katanya sambil memberitahu masa depan Sarawak sangat cerah dari segi pelancongan.

“Di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, kita mempunyai banyak projek di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, dan dengan bantuan kerajaan persekutuan, kita akan mengubah semua infrastruktur asas untuk menarik pelancong ke Sarawak,” tambah beliau.

Sementara itu Wee berkata, majlis ini menandakan permulaan untuk mengangkat bandar raya Kuching ke tahap baharu.

Biarpun ruang tradisional di bandar ini mesti dipelihara dan dilindungi, katanya, ia juga masa yang sesuai untuk dinaik taraf.

“Dengan Kuching diiktiraf sebagai UCCN Projek ini akan menjadi nadi kepada program pembaharuan bandar yang seterusnya menghidupkan semula bahagian bandar ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement