Anda di sini

Mohamad Aniq tempah tiket awal ke Birmingham 2022 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Atlet angkat berat muda negara Mohamad Aniq Kasdan muncul badang pertama melayakkan diri ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 selepas meraih pingat emas Kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel di Uzbekistan yang diadakan bersekali dengan Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021, kelmarin.

Atlet berusia 19 tahun yang beraksi dalam kategori 55 kilogram (kg) melakukan angkatan 107kg bagi kategori snatch dan 142kg clean and jerk untuk mencatat keseluruhan 249kg, sekali gus mengatasi rekod kebangsaan milik Muhamad Azroy Hazalwafie iaitu 248kg yang dilakukan pada Kejohanan Asia 2019 di China.

Mohamad Aniq turut membawa pulang pingat perak bagi kategori clean and jerk dalam saingan Kejohanan Dunia.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat berkata pencapaian Mohamad Aniq itu meletakkan Malaysia di ranking pertama kelayakan Sukan Komanwel Birmingham 2022 bagi kategori 55kg.

“Pencapaian ini adalah pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penganjuran kejohanan Angkat Berat Dunia kerana berjaya memenangi pingat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Badang kelahiran Segamat, Johor sebelum ini pernah melakar sejarah buat negara apabila cemerlang meraih tiga pingat emas, sekali gus berjaya melebur dua rekod kebangsaan pada Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa Indonesia 2019.

Sementara itu, Ayub Rahmat memaklumkan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018, Muhamad Aznil Bidin akan beraksi dalam katagori lelaki 61 kg hari ini manakala Muhammad Erry Hidayat akan bertanding dalam kategori 73kg pada Jumaat. - BERNAMA
 

Advertisement