Anda di sini

Malaysia pandang serius kepentingan pembangunan prasarana termasuk capaian internet

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia memandang serius terhadap kepentingan pembangunan infrastruktur termasuk capaian internet kepada masyarakat luar bandar dalam fasa pemulihan pandemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu kenyataan hari ini berkata aspek pembangunan ekonomi luar bandar menjadi elemen penting dalam pemulihan masyarakat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Ini termasuklah aspek pembangunan ekonomi luar bandar kepada pengenalan latihan penggunaan teknologi terkini dalam bidang pertanian, pemerkasaan latihan dalam ekonomi digital dengan kerjasama dalam bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keusahawanan luar bandar selain pemerkasaan kepimpinan belia dan wanita luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena Persidangan Pertubuhan Pembangunan Luar Bandar Afrika-Asia (AARDO) kali ke-20 secara dalam talian semalam.

Persidangan tahunan di peringkat menteri ini diadakan bagi membincangkan isu-isu pembangunan luar bandar dan hubungan kerjasama dalam kalangan negara anggota AARDO dari benua Afrika dan Asia.

Pada persidangan kali ini, Malaysia turut menyerahkan jawatan Pengerusi AARDO kepada Kerajaan Ghana selepas menerajui pertubuhan itu selama 3 tahun mulai 2018 sehingga 2021.

Sepanjang tempoh sebagai Pengerusi AARDO, Kerangka Pelan Strategik 2021 hingga 2030 telah diperkenalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa beliau memegang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan mempengerusikan Persidangan AARDO Ke-19 pada tahun 2018 yang berlangsung di Kuala Lumpur. -BERNAMA

Advertisement