Anda di sini

KPI 100 Hari KKR : RM4.28 bilion rangsang ekonomi rakyat terkesan pandemik

Advertisement

Empat AKM 100 hari KKR memberi kesan langsung kepada ekonomi serta kualiti dan keselamatan dalam industri pembinaan

KUALA LUMPUR : Kementerian Kerja Raya (KKR) memperoleh  pencapaian 100 peratus Indeks Petunjuk Utama (KPI) sempena Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Anggota Jemaah Menteri (AKM 100 Hari) dengan menjana RM4.28 bilion melalui 130 penyerahan Surat Setuju Terima Projek.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, KKR menggariskan sebanyak empat  AKM 100 Hari dan semua inisiatif yang ditetapkan di bawah AKM 100 hari KKR adalah inisiatif yang mempunyai impak langsung kepada rakyat dari segi kualiti dan keselamatan pembinaan.

Mengulas mengenai antara kejayaan KKR, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, KKR telah mencapai 100 peratus bagi empat AKM 100 Hari yang disasarkan dengan AKM pertama iaitu mempercepatkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) sebagai pencapaian terbesar bagi KKR.

“Sebanyak 130 daripada 120 SST telah berjaya dikeluarkan dalam tempoh 81 hari daripada perlantikan semula sebagai Menteri Kerja Raya melibatkan peruntukan sebanyak RM4.28 bilion.

“Dengan mempercepatkan pengeluaran SST kepada kontraktor yang layak, ianya akan menggerak dan menstruktur semula ekonomi negara demi kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat,”katanya.

Untuk rekod, penyerahan 130 SST ini melibatkan syarikat-syarikat yang terpilih dalam proses Perolehan Kerajaan di setiap negeri, Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Senarai penyerahan SST setiap negeri
Senarai penyerahan SST setiap negeri

Jelas Datuk Seri Fadillah Yusof, inisiatif mempercepatkan pengeluaran SST ini juga sudah pasti memberi ruang pekerjaan pada penduduk setempat dan rantaian sektor binaan seperti  perunding, pembekal bahan pembinaan, jentera pembinaan dan lain-lain turut mendapat manfaat.

“Ia juga dapat membantu meningkatkan aliran tunai ke pasaran dan menyediakan infrastruktur fasiliti kepada rakyat dapat direalisasikan,”katanya.

Berhubung kejayaan AKM yang kedua, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementerian telah memperkenalkan peraturan baharu dan mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Dasar KKR bagi menguatkuasakan Standard Industri Pembinaan (Construction Industry Standards – CIS) serta Garis Panduan Bagi Prosedur Kerja Selamat Untuk Kerja-Kerja Pembinaan oleh CIDB.

“Melalui peraturan baru ini, keselamatan dan kesihatan pekerja tapak bina dan orang awam dapat dijaga serta meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap kerajaan yang sentiasa prihatin dalam memperkasakan amalan keselamatan dan kesihatan yang tinggi dalam sesuatu projek pembinaan,” katanya.

Sementara itu, melalui AKM ketiga, KKR dengan kerjasama konsesi dan kontraktor penyenggaraan telah berjaya mencapai sasaran menampal sebanyak 15,973 bilangan potholes di Jalan Persekutuan bagi Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan dari 1 September sehingga 30 November lalu dalam tempoh 24 jam.

Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, KKR juga telah melancarkan Sistem Aplikasi Pemantauan Potholes (ASaPP) yang digunakan bagi memantau potholes secara atas talian oleh pegawai-pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga syarikat konsesi bagi tujuan pemantauan kewujudan potholes pada jalan persekutuan.

“Ini adalah satu pembaharuan yang paling membanggakan dan juga merupakan iltizam KKR dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya melalui tindakan penyelesaian kerosakan jalan dalam tempoh 24 jam selepas penemuan atau aduan,” katanya.

Memperincikan kejayaan AKM keempat KKR, Datuk Seri Fadillah Yusof  berkata, AKM 4 terbahagi kepada dua bahagian iaitu menambah baik jaringan lebuh raya antara bandar dan mengadakan rundingan dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya.

Beliau berkata, melalui pelaksanaan menambah baik jaringan lebuh raya antara bandar, KKR telah memuktamadkan perjanjian satu lebuhraya baharu iaitu Projek Penswastaan Petaling Jaya Dispersal Elevated Highway (PJDLink)

“PJDLink akan dapat memberikan manfaat secara langsung serta merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan seperti PJ Sentral, Zon Industri Seksyen 51, Taman Medan dan Taman Teknologi Bukit Jalil,”

“Projek ini dijangka memberi impak ekonomi sebanyak RM31 billion dan mewujudkan 48,000 peluang pekerjaan,”katanya.

Jelas beliau, melalui pelaksanaan penstrukturan kadar tol pula, KKR komited untuk mengkaji semula model pembangunan lebuh raya sedia bagi mengoptimumkan manfaat kepada pengguna lebuh raya dan pelabur.

“KKR telah mendapat kelulusan prinsip Kerajaan bagi mengadakan rundingan bersama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya utama bagi tujuan penetapan kadar tol baharu yang lebih rendah berbanding kadar tol sedia agar tidak membebankan pengguna,”.

“Melalui inisiatif ini, pengguna lebuh raya bakal menikmati penjimatan kadar tol bagi lebuh raya yang berkaitan serta dapat meringankan beban rakyat,” katanya.

Pembukaan jajaran Serian pada 5 Disember 2021 yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.
Pembukaan jajaran Serian pada 5 Disember 2021 yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

Manfaat AKM KKR kepada kumpulan sasar

Mengulas mengenai manfaat AKM KKR, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata dalam merealisasikan pelaksanaan AKM 100 Hari ini, pelbagai usaha telah dijalankan oleh KKR bagi memberi manfaat pada orang awam, pekerja binaan dan kontraktor.

“Kesemua program dan inisiatif AKM 100 Hari di bawah KKR ini merupakan strategi untuk merancakkan semula sektor pembinaan sebagai sokongan kepada misi menstruktur semula ekonomi di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12),”
 
“Selain itu, program yang dilaksanakan ini juga adalah bukti komitmen KKR dan sektor pembinaan dalam merealisasi penyampaian perkhidmatan kepada semua pemegang taruh,” katanya

Tambah Datuk Seri Fadillah Yusof  lagi, seperti inisiatif dan program KKR yang lain, AKM 100 hari juga mensasarkan kepada pengguna infrastruktur secara langsung dalam meningkatkan keselamatan dan keselesaan infrastruktur.

“Melalui program ini, KKR mempromosikan keselamatan di tapak bina dan mengurangkan kemalangan melibatkan pekerja tapak bina dan orang awam,”

Datuk Seri Fadillah Yusof juga berharap pencapaian cemerlang yang telah diperolehi ini dapat memberi manfaat kepada semua kumpulan sasar sama ada dari segi ekonomi, keselamatan, keselesaan dan selaras dengan motto KKR iaitu Ke arah Kesejahteraan Rakyat.

 “Saya harap KKR akan terus ke hadapan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia dan pencapaian cemerlang ini tidak terhenti setakat 100 hari sahaja tetapi diteruskan pada masa-masa akan datang,”

“Ini kerana saya yakin kementerian dan agensi mempunyai pegawai-pegawai yang amat berwibawa untuk merealisasikan hasrat ini,”katanya.

  • oleh
  • Advertisement