Anda di sini

Kerajaan Negeri rancang wujudkan kawasan Taman Perindustrian baharu berskala besar

Advertisement
JOACHIM
JOACHIM

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri merancang mewujudkan kawasan Taman Perindustrian Baharu berskala besar bagi menarik lebih ramai pelabur dalam dan luar negara untuk melabur di negeri ini. 

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata tindakan itu dilaksanakan selaras dengan permintaan tanah perindustrian dalam skala besar yang semakin bertambah khususnya dari pelabur asing kini.

“Kerajaan merancang mewujudkan kawasan taman perindustrian yang baharu sekurang-kurang 10,000 ekar ke atas bagi menampung keperluan tanah daripada pelabur,” katanya dalam ucapan penggulungan Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini.

Bercakap lanjut mengenai langkah terbabit, beliau berkata Kerajaan Negeri turut meluluskan penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sabah “Sabah Trade & Tourism Office (STTO)” di Singapura.

“STTO yang diletakkan dibawah seliaan Kementerian Pembangunan Perindustrian ini akan berperanan sebagai pusat sehenti ‘one stop centre’ bagi mempromosi dan menggalakkan pelaburan dan pelancongan ke Sabah.  

“Pejabat STTO dijangka akan mula beroperasi pada bulan Januari tahun hadapan sebelum beroperasi sepenuhnya selepas kerja mengubahsuai pejabat di Oxley Tower, Singapura selesai,” katanya sambil menambah penubuhan ini diharap mampu meningkatkan pengaliran masuk pelaburan asing dan domestik dalam semua sektor ke Sabah.

Dalam pada itu Joachim berkata pihaknya juga akan memantapkan Invest Sabah Berhad (ISB) yang sudah beroperasi sejak 10 Disember lalu  sebagai “One Stop Investment Agency” untuk mengurus perihal pelaburan di dalam dan luar negara. 

“Setakat 30 November lalu, ISB sudah menerima 49 cadangan pelaburan dari pelbagai sektor yang sedang diproses oleh ISB.

“Bagi memantapkan ISB pada tahun hadapan, jawatan yang masih kosong akan diisi untuk membolehkan ISB beroperasi dengan sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya Kerajaan Negeri juga melaksanakan inisiatif tambahan dengan menawarkan diskaun terhadap cukai kadaran dan bayaran pajakan tanah untuk menarik pelabur asing yang berimpak tinggi ke Sabah.

“Kita juga akan memberikan kelulusan secepat mungkin kepada permohonan pelaburan yang memenuhi syarat dan dokumentasi yang lengkap melalui mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Perindustrian Negeri Sabah (ICC) bagi meneliti dan mempertimbangkan kelulusan permohonan pelaburan tersebut.

“Pada masa sama kita juga membantu mempercepatkan kelulusan permohonan Pelan Pembangunan dan Pelan Bangunan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement