Anda di sini

Hak Sabah dalam MA63 akan terus dipertahan

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus mempertahankan hak-hak Sabah seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan. 

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, tuntutan berkaitan dengan MA63 perlu dirunding dengan melibatkan kajian bagaimana setiap tuntutan akan dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan dan negeri. 

"Ada perkara yang dituntut perlu dibawa ke Parlimen seperti pindaan Perlembagaan Persekutuan dan ada tuntutan selebihnya memerlukan persefahaman antara kementerian atau jabatan. 

"Definisi yang diberikan oleh kerajaan persekutuan mengenai Artikel 1(2) dan Artikel 160(2) Perlembagaan Persekutuan adalah mencerminkan seperti apa yang sebenarnya diinginkan oleh kerajaan negeri.

"Perkara ini telah diselaraskan oleh Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah pada 24 September 2021.

"Perkara ini juga telah dibawa ke Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu dan seterusnya kepada Majlis Khas MA63.

"Beberapa perbincangan penglibatan juga telah dibuat oleh Menteri Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dengan kerajaan negeri ini," katanya ketika dalam Ucapan Penggulungan Bajet Sabah 2022 di sini, semalam.

Sementara itu katanya, berkaitan dengan isu pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman Tinggi Sabah dan Sarawak, perkara itu akan dibincangkan dalam satu Jawatankuasa Khas di bawah Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu. 

Katanya, satu sesi perbincangan diantara Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan pihak Mahkamah Persekutuan akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu-isu badan kehakiman.

Selain itu katanya, terdapat lima projek jalan luar bandar (biayaan Kerajaan Persekutuan) yang dipohon dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) melibatkan DUN Tungku sedang akan dilaksanakan.

Katanya, projek berkenaan termasuklah naik taraf Jalan Dengan-Bungeigod-Tendu, Jalan Tabin, Jalan Kg. Sri Putatan Baru, Jalan Gading, dan Jalan Lintuk Pulau, Lahad Datu.

"Pada masa ini kerajaan negeri masih menunggu kelulusan daripada kerajaan persekutuan berhubung permohonan yang telah dikemukakan kepada Kementerian Luar Bandar Persekutuan.

"Kelulusan adalah mengikut senarai keutamaan dan juga peruntukan kewangan yang tersedia di peringkat Kerajaan Persekutuan," katanya.

Abidin berkata, untuk kawasan Tanjong Papat, pembangunan kawasan berkenaan merupakan langkah proaktif kerajaan negeri dalam merancang dan membangunkan kawasan-kawasan sempadan Sabah di empat lokasi yang terpilih.

Katanya, sebagai langkah awal untuk membangunkan Bandar Sempadan, kerajaan negeri memfokuskan kepada bandar sempadan di Serudong, Kalabakan. 

"Objektif pembangunan bandar sempadan ini adalah untuk memastikan negeri bersedia ke atas impak yang besar dari segi peluang-peluang ekonomi, perdagangan dan sosial ke atas pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan yang dijangka bermula pada tahun 2024. 

"Berkaitan dengan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) pula, kerajaan negeri telah menerima pemakluman daripada Syarikat Strategic Energy Resources Sdn. Bhd (SSER), sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan pada 23 Mei 2021 mengenai keputusan kerajaan persekutuan untuk melaksanakan semula Projek TSGP. 

"Berikutan dengan keputusan kerajaan persekutuan berkenaan, syarikat SSER telah memohon sokongan daripada kerajaan negeri untuk menyambung semula pelaksanaan Projek TSGP tersebut," katanya.

Dalam hubungan ini katanya, kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kewangan Malaysia bersama Syarikat SSER telah mengadakan dua sesi perbincangan dengan kerajaan negeri. 

Katanya, susulan daripada kedua-dua sesi perbincangan tersebut, kerajaan negeri telah memutuskan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Khas untuk tujuan membincang dan menyelaras pelaksanaan projek TSGP sekiranya diteruskan. 

"Berhubung dnegan isu Sabah Forest Industries (SFI), proses pengambilalihan dan pengagihan kawasan SFI adalah teratur serta mengikut peruntukan perundangan yang sedia ada. 

"Ketidakupayaan SFI untuk membayar gaji pekerja dan kegagalan dalam menjaga kebajikan adalah antara sebab mengapa perjanjian lesen kayu balak ini dibatalkan pada 1hb September 2021 demi kepentingan awam. 

"Berikutan pembatalan tersebut, semua tanah, bangunan dan kilang milik SFI termasuk penjualan atau 'disposal of assets' akan diurus mengikut prosedur penggulungan yang ditetapkan di dalam Akta Insolvensi 1967, Akta Insolvensi (Pindaan) 2020 dan undang-undang yang berkaitan.

"Kerajaan negeri juga pada masa ini sedang mengambil tindakan untuk mengambil alih tanah-tanah milik SFI," katanya.

Abidin berkata, kerajaan negeri dan agensi berkaitan akan menubuhkan sebuah konsortium bagi menerajui pelaburan baharu di Sipitang, di mana kerajaan negeri akan mempunyai ekuiti 15 peratus dalam Syarikat Konsortium tersebut, berbanding dengan pemilikan 1.8 peratus sebelum ini. 

Katanya, ia bertujuan untuk menggiat dan mengaktifkan semula industri kayu-kayan di kawasan tersebut, sekali gus bagi menangani isu kebajikan pekerja-pekerja SFI yang terbabit. 

"Kerajaan negeri juga menerima banyak permohonan daripada syarikat yang berminat untuk mendapatkan kawasan SFMLA di Daerah Sipitang.

"Justeru itu, usaha sedang dirangka dalam proses memuktamadkan syarikat mana yang layak untuk diberikan Lesen SFMLA baharu di kawasan tersebut termasuk syarikat Kumpulan Al-Bukhary," katanya.

  • oleh
  • Advertisement