Anda di sini

Bursa Malaysia catat kenaikan sederhana pada sesi awal urus niaga

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan sederhana ketika memulakan urus niaga pagi Khamis, mengambil petunjuk daripada momentum menaik Wall Street walaupun aktiviti di pasaran domestik masih lesu.

Pada 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 0.47 mata kepada 1,494.50 daripada 1,494.03 pada penutup hari Rabu.

Indeks utama dibuka 0.97 mata lebih rendah pada 1,493.06.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 205 berbalas 131 manakala 242 kaunter tidak berubah, 1,719 tidak diniagakan dan 51 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 300.26 juta unit bernilai RM104.05 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen mungkin kekal optimis dengan berhati-hati sementara pasaran memantau tahap impak varian Omicron COVID-19, serta keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu depan.

Dari segi komoditi, harga minyak terus berlegar melepasi paras US$75 setong, manakala pasaran minyak sawit mentah menyaksikan penurunan sederhana.

Di AS, pasaran saham pulih kembali daripada kerugian seharian untuk ditutup lebih tinggi sedikit apabila Dow naik 0.1 peratus di tengah-tengah keyakinan terhadap penggalak vaksin yang mungkin meneutralkan varian Omicron.

Malacca Securities berkata pasaran domestik mungkin terus menyaksikan aktiviti memburu saham berharga rendah serta potensi memperelok akaun menjelang akhir tahun.

Saham wajaran tinggi IHH naik empat sen kepada RM6.59, manakala Axiata, Dialog dan Genting masing-masing menambah tiga sen kepada RM3.73, RM2.48 dan RM4.50.

RHB mengukuh lima sen kepada RM5.43 sementara Top Glove, Petronas Chemicals serta Sime Darby Plantation masing-masing meningkat dua sen kepada RM2.46, RM8.45 dan RM3.78.

Bagaimanapun, CIMB turun lima sen kepada RM5.23 dan Petronas Gas susut 14 sen kepada RM16.38.

Bagi saham aktif, Sapura Energy dan MMAG masing-masing tidak berubah pada 5.5 sen dan 9.5 sen.

G3 Global lega tiga sen kepada 12 sen dan ATA IMS susut setengah sen kepada 49 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas memperoleh 7.88 mata kepada 10,908.05, Indeks FBMT 100 menokok 8.71 mata kepada 10,610.56 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 22.36 mata kepada 11,786.44.

FBM 70 meraih 32.92 mata kepada 14,147.49 dan FBM ACE naik 1.13 mata kepada 6,290.43.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.41 mata kepada 193.83, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 25.48 mata kepada 15,140.91 dan Indeks Perladangan meningkat 4.02 mata kepada 6,434.11. - BERNAMA

Advertisement