Anda di sini

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak bakal mempunyai pejabat baharu

Advertisement
Abang Johari melihat Buku Menjunjung Amanah dan Tanggungjawab yang dilancarkan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Penubuhan SPANS. - Gambar Penerangan

KUCHING: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) bakal mempunyai pejabat baharu di sini, yang dijangka siap pada tahun hadapan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak bersetuju untuk memperuntukkan pejabat baharu itu di Tingkat 16 dan 17 Bangunan Hikmah Exchange di Jalan Haji Taha, Satok dekat sini. 

“Pejabat baharu SPANS ini dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan,” katanya ketika berucap sempena majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, penjawat awam negeri ini merupakan jentera utama dalam menggerakkan pentadbiran kerajaan negeri.

“Selaku badan eksekutif yang bertanggungjawab dalam melantik penjawat awam, SPANS telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan.

“Ia berjaya melahirkan penjawat awam yang berupaya mengangkat martabat negeri ini ke satu tahap yang tinggi dan boleh menjadi teladan kepada perkhidmatan awam yang lain,” ujarnya.

Bah kan sepanjang tempoh dua tahun yang mencabar akibat pandemik COVID-19 katanya, jentera kerajaan ini dilihat berupaya menempuh rintangan dengan efisien dan berkesan. 

“Hal ini membuktikan penjawat awam di Sarawak sentiasa bersedia dan berupaya menyesuaikan diri dengan apa jua bentuk perubahan persekitaran sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial dan teknologi," ujarnya. 

Sehubungan itu, beliau memohon penjawat awam untuk terus menerapkan budaya integriti dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah  diberikan. 

"Ia bagi memastikan tadbir urus yang baik dan reputasi  penjawat awam terus disanjung tinggi oleh rakyat,” ujarnya.

Pada majlis itu, Abang Johari turut melancarkan dua buah buku iaitu Buku Menjunjung Amanah dan Tanggungjawab dan buku coffee table sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Penubuhan SPANS.

Kedua-dua buah buku tersebut menceritakan sejarah penubuhan, fungsi-fungsi, hal ehwal pentadbiran, pencapaian, pengalaman dan biografi Ahli-Ahli Suruhanjaya, statistik serta Panduan Temuduga. 

Ia turut memaparkan gambar-gambar bersejarah dan aktiviti-aktiviti sepanjang 60 tahun kewujudan SPANS.

  • oleh
  • Advertisement