Anda di sini

RM1 juta lagi diperlukan bagi bangunkan Mini Lab dan High Performanace Gym

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Peruntukan tambahan sebanyak RM1,000,000 diperlukan bagi membangunkan Mini Lab dan High Performanace Gym.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin berkata, ini adalah untuk menyediakan kemudahan yang minima serta melaksana program High Talent Identification demi pembangunan sukan Sabah dan melahirkan atlet yang berkualiti.

"Pusat ini kelak boleh menyediakan kelengkapan dan teknologi sains sukan kepada atlet negeri Sabah tidak terkecuali atlet Orang Kelainan Upaya (OKU). 

"Di antara perkhidmatan yang tersedia meliputi Perkhidmatan Psikologi Sukan, Pemakanan Sukan, Suaian Fizikal, Fisiologi Senam, Penilaian Sukan Spesifik, Kecederaan dan Pemulihan, Program Perkhidmatan Perancangan dan Pemantauan Jurulatih serta Atlet," katanya ketika dalam Ucapan Penggulungan Bajet Sabah 2022 di sini, hari ini.

Selain itu katanya, pihak kementerian juga akan mengkaji semula Insentif Kemenangan Atlet yang diguna pakai pada masa sekarang yang mana insentif yang diberikan kerajaan negeri adalah 50 peratus daripada pemberian yang diberikan oleh kerajaan persekutuan.

Katanya, kajian ini diharap akan memberikan suntikan motivasi kepada atlet negeri untuk mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa. 

"Justeru jaringan kerjasama padu di antara Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Negeri Sabah, Pejabat Pesuruhjaya Sukan Rantau Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) diaktifkan melalui agensi Kementerian iaitu Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) dan juga Lembaga Sukan Sabah (LSS)," katanya.
 

Advertisement