Anda di sini

Pewujudan Pejabat Daerah Penuh perlu diteliti semula

Advertisement
 


KOTA KINABALU: Kriteria pewujudan Pejabat Daerah Penuh di negeri ini akan diteliti semula bagi memastikan pembangunan berterusan di sesebuah dapat dilaksanakan.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, kerajaan negeri akan meneliti semula kriteria itu.

"Kita perlu memberi keutamaan kepada daerah yang boleh memungut hasil untuk menampung keperluan penubuhan Majlis Daerah disamping kriteria-kriteria lain. 

"Sebagai contoh katanya, Pejabat Daerah Membakut yang mempunyai pungutan hasil sebanyak RM6.38 juta dalam setahun telah membolehkannya dinaik taraf sebagai Pejabat Daerah Penuh.

“Berdasarkan rekod pungutan hasil oleh Majlis Daerah pada tahun 2020, terdapat beberapa Majlis Daerah yang gagal mengutip hasil di daerah. 

“Ini menjadikan Majlis Daerah berkenaan sebagai liabiliti kepada Kerajaan.  Contohnya Majlis Daerah Semporna (-RM789,541.00), Pitas (-RM568,684.00), Nabawan (-RM2,252,311.00), Lahad Datu (-RM2,573,371.00), Kunak (-RM1,281,662.00 dan Majlis Daerah Kuala Penyu (-RM104,344.00),” katanya ketika menjawab pertanyaan Mohammad Mohamarin (WARISAN-Banggi) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, ia bagi menunjukkan pendapatan yang dikutip oleh Majlis Daerah adalah mencerminkan kesediaan daerah tersebut untuk menjadi sebuah daerah penuh. 

Oleh yang demikian, Abidin berkata kriteria baharu ini akan dijadikan sebagai kriteria penentu kepada pewujudan Pejabat Daerah Penuh pada tahun hadapan. 

Menurutnya, ia membuktikan langkah menaik taraf daerah kecil kepada daerah penuh bukan penentu kepada kemajuan pembangunan di daerah berkenaan. 

“Kerajaan akan sentiasa memastikan inisiatif penstrukturan semula pentadbiran daerah ini akan membolehkan sesebuah daerah itu membangun dan berdaya saing setanding dengan daerah-daerah lain di Semenanjung yang berjaya,” katanya.

Selain itu katanya, pewujudan Pusat Pentadbiran Daerah Penuh akan melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada Kerajaan Negeri. 

“Oleh itu, kerajaan perlu meneliti sebaik-baiknya sebarang cadangan yang boleh membawa perbelanjaan yang besar dan berpanjangan kepada kerajaan. 

“Langkah menaik taraf daerah kecil kepada daerah penuh bukanlah satu jalan penyelesaian untuk membangunkan daerah dengan lebih efektif. 

“Kerajaan lebih komited untuk mencapai sasaran menstrukturkan semula pentadbiran daerah di seluruh negeri Sabah bermula pada tahun ini bagi memastikan pembangunan daerah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.  
 

Advertisement