Anda di sini

Peniaga diingat patuh SHMKM, jalankan perniagaan secara beretika

Advertisement
 Taha semasa menjalankan tinjauan terhadap salah seorang peniaga di Pasar Besar Kota Kinabalu di sini.
TINJAU: Taha semasa menjalankan tinjauan terhadap salah seorang peniaga di Pasar Besar Kota Kinabalu di sini.

KOTA KINABALU: Peniaga di negeri ini dinasihatkan agar menjalankan perniagaan  secara beretika dan mematuhi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) 2021 yang ditetapkan bermula 7 hingga 31 Disember tahun ini.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah Taha Julai berkata tindakan itu adalah bagi memastikan harga barangan keperluan pada masa ini lebih stabil serta bekalan barangan keperluan sentiasa ada di pasaran.

“Untuk memastikan peniaga sentiasa patuh kepada SHMKM, pasukan kita menjalankan pemeriksaan terhadap 65 premis termasuklah gerai menjual ayam, telur, sayur-sayuran dan sebuah pasar raya tumpuan pengguna di sini. 

“Sepanjang tinjauan itu, KPDNHEP menasihatkan peniaga agar menjalankan perniagaan secara beretika dan mematuhi SHMKM 2021 dengan tidak menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan. 

“Peniaga turut diingatkan agar mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu (pink) untuk barang kawalan SHMKM, mempamerkan penandaan harga yang jelas, memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna di samping terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang berkuatkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membuat lawatan ke Pasar Besar Kota Kinabalu bagi meninjau pelaksanaan SHMKM di sini.

Katanya bagi memastikan SHMKM lebih berkesan, KPDNHEP akan menjalankan operasi pemantauan dari semasa ke semasa di negeri ini.

“Sepertimana tujuan SHMKM diwujudkan untuk membantu menstabilkan harga barang di pasaran, senarai barangan juga akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran.

“Semua pihak di seluruh rantaian bekalan dari kalangan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual dinasihatkan dan diberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah SHMKM 2021. 

“Pengguna juga dinasihat menggunakan hak sebagai pengguna dengan bijaksana dan bertanggungjawab selain sedar tentang kepentingan berbelanja secara berhemah dan tidak perlu membeli secara berlebihan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement