Anda di sini

Pendekatan dan formula sudah dikenal pasti

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Pelbagai pendekatan dan formula baharu telah dikenal pasti untuk memastikan program kemahiran mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar atau belia dan beliawanis yang masih belajar di negeri ini.

Pembantu Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Ruddy Awah berkata, ia termasuklah dalam bidang teknologi automatif, digital dan elektronik.

Katanya, antara pendekatan atau formula baharu yang dikenalpasti adalah melalui Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) yang menjalin kerjasama dengan pihak Malaysia Automotive Robotic & IoT Institute (MARii) bagi melaksanakan train and place dalam bidang teknologi automotif. 

“Melalui program ini, JPSM akan menghantar belia Sabah mengikuti program dalam bidang automatif dan IOT dan penempatan di kilang-kilang automotif IoT bagi mengatasi isu pengangguran di Sabah bermula tahun 2022. 

“JPSM merancang akan memberi peluang kepada belia Sabah yang berpotensi melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi berkaitan bidang teknikal khasnya teknologi automotif, digital dan elektronik. 

“Jabatan ini juga telah menghantar lima orang pelatih JPSM untuk melanjutkan latihan ke peringkat Diploma iaitu dalam bidang Diploma of Engineering Technology Automotive Maintenance dan Diploma of Engineering Technology in Electric dan Electronics di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada tahun 2020. Program ini akan diteruskan dan dimantapkan di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (UMNO-Nabawan) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Ruddy berkata, Kementerian pada masa ini, sedang merangka pewujudan sebuah Universiti Teknikal bersama MARA bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dan separa mahir di Sabah. 

Katanya, dengan inisiatif ini, anak-anak Sabah yang mempunyai sijil kemahiran boleh melanjutkan pelajaran atau latihan yang lebih tinggi tanpa perlu ke Semenanjung. 

Katanya, SCENIC telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Aerodyne dan KKIP Aerospace Training Centre bagi meluaskan potensi teknologi dron di Sabah. 

Advertisement