Anda di sini

Lima program kerjasama tingkat pembangunan IKS Sabah

Advertisement
JOACHIM
JOACHIM

KOTA KINABALU: Lima program utama dilaksanakan bagi meningkatkan pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Sabah melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata salah satu program berkenaan adalah dengan pelaksanaan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Keusahawanan Nasional (JTPKN) yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

“Jawatankuasa ini akan bersidang bagi mengenalpasti dan membincangkan isu, permasalahan, cabaran dan halangan pembangunan usahawan, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) dan usahawan sektor informal di peringkat persekutuan dan negeri sebelum diangkat ke Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional (MPKN). 

“Maklumat terkini mengenai pembangunan keusahawanan di seluruh negeri juga akan dilaksanakan melalui penubuhan jawatankuasa ini,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik Datuk Raime Unggi.

Tambahnya kerjasama ini juga ditunjukkan melalui penyertaan Kerajaan Negeri dalam MPKN bagi menerima isu-isu yang dibangkitkan oleh JTPKN dan pada masa sama jawatankuasa ini juga berperanan menyelaras dasar dan hala tuju pembangunan keusahawanan negara.

“Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan (MPUPK) juga adalah badan pembuat dasar tertinggi dengan fungsi strategiknya merangkumi pembangunan PKS secara menyeluruh dan diselaraskan merentas kesemua sektor ekonomi di Malaysia. 

“Majlis ini terdiri daripada 18 Ahli Kabinet Persekutuan, Ketua Setiausaha Negara, Gabenor Bank Negara Malaysia, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak dengan sasaran utama untuk mencapai 41 peratus sumbangan KDNK oleh PKS seperti yang digariskan dalam Pelan Induk PKS 2012-2020,” katanya.

Joachim berkata pelaksanaan program Program ‘Be Your Own Boss’ (BYOB) juga adalah projek kolaborasi strategik antara Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) iaitu agensi MEDAC dan Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (MID) melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR). 

“Program ini adalah satu pendekatan yang positif dan holistik dalam usaha membangunkan Sistem Keusahawanan di negeri Sabah dengan pengenalan konsep perniagaan francais sebagai landasan untuk membantu individu yang berminat menceburi bidang keusahawanan. 

“Dengan bantuan dana dan kursus yang diberikan, maka secara tidak langsung program ini mampu mengembangkan perniagaan bersistemkan francais di Sabah,” katanya.

Tambahnya dalam melaksanakan kerjasama ini, DIDR menyediakan dana berbentuk geran bantuan melalui peruntukan Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (BAIKS).

Katanya pada masa sama Pernas turut memberi sistem latihan berstruktur dan menyediakan pemadanan perniagaan bersama dengan francaisor tempatan yang berdaftar mengikut Pernas.

“Setakat ini daripada 1,020 permohonan yang diterima hanya 31 peserta yang berjaya menyertai program bagi tahun ini berikutan proses pemilihan peserta bagi program ini meliputi sesi temuduga, kursus, semakan kredit dan ujian psikomatrik. 

“Peserta yang berjaya mengikuti program ini akan dipantau selama setahun dan pihak Pernas akan berusaha membimbing kesemua peserta agar menjadi Usahawan Francais yang berjaya,” katanya.

Bercakap lanjut beliau berkata Kerajaan Negeri turut melaksanakan Program Peningkatan Rekabentuk Pembungkusan Produk Usahawan IKS dengan kerjasama SIRIM iaitu agensi dibawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi meningkatkan kualiti pembungkusan produk usahawan IKS. 

“Pihak DIDR sudah menyediakan geran bantuan melalui BAIKS dan pihak SIRIM menyediakan bantuan dari segi latihan serta khidmat rundingan perniagaan melalui Pusat Reka Bentuk Pembungkusan dan Percetakan Keselamatan SIRIM.

“Objektif program ini adalah untuk memastikan produk usahawan memenuhi keperluan piawaian pembungkusan dan pelabelan bagi membolehkan produk tersebut bersaing di pasaran dan sekaligus membantu meningkatkan jualan serta pendapatan. 

“Setakat ini 45 usahawan terpilih menyertai program ini bagi tahun 2021 dan pelaksanaan program ini melibatkan tiga (3) aktiviti utama,” katanya.

Tambahnya ianya termasuklah Analisa nutrisi dan jangka hayat produk, Pelabelan produk yang merangkumi penyediaan rekabentuk, penyediaan acuan dan pembekalan label serta Pembungkusan meliputi penyediaan rekabentuk dan mock-up pembungkusan, pembekalan acuan dan juga pembekalan pembungkusan.

  • oleh
  • Advertisement