Anda di sini

Kluster Jalan Tuaran Bakut jangkiti 26 pelajar institusi perguruan

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Satu kluster baharu dicatatkan di Bakut Tuaran membabitkan sebuah institusi pendidikan perguruan di negeri ini semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata setakat ini seramai 26 pesakit sudah dijangkiti iaitu dalam kalangan pelajar di institusi berkenaan.

“Kes indeks terhadap kluster ini ialah seorang pelajar wanita yang didapati positif COVID-19 dan hasil saringan kesihatan dalam kalangan kontak rapat mendapati 26 orang lagi pelajar yang tinggal di asrama bersama indeks kes dijangkiti. 

“Kesemua yang dijangkiti sudah diasingkan dan diberikan rawatan bersesuaian,” katanya.

Dalam pada itu Masidi berkata Sabah terus mencatatkan trend peningkatan kes harian dengan peningkatan sebanyak 15 kes menjadikan 322 kes baharu semalam.

“Daerah dalam kumpulan ‘Empat Serangkai’ kembali mengungguli senarai daerah kes tertinggi iaitu Tuaran dengan kes tertinggi sebanyak 55 kes, Kota Kinabalu 53 kes, Ranau 34 kes dan Kota Belud 25 kes. 

“Sebanyak 16 daerah merekodkan kes pada satu angka sahaja dan enam daripadanya merekodkan sifar kes,” katanya.

Masidi berkata secara perbandingannya dua daerah mencatatkan peningkatan jumlah kes yang agak tinggi iaitu Tuaran dengan penambahan 21 kes dan Ranau 14 kes. 

Tambahnya dua daerah mencatatkan penurunan agak besar ia itu Penampang dengan menurun sebanyak 17 kes dan Papar 15 kes.

“Seramai 312 pesakit atau hampir 97 peratus adalah pesakit dalam Kategori satu dan dua, dua pesakit dalam Kategori tiga, dua pesakit dalam Kategori empat dan dua pesakit dalam Kategori lima manakala empat pesakit lagi masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement