Anda di sini

Kerajaan Sarawak mahu perkhidmatan awam berkualiti

Advertisement
Abang Johari menerima cenderamata daripada Abdul Ghafur semasa majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Penubuhan SPANS. -Gambar PENERANGAN
Abang Johari menerima cenderamata daripada Abdul Ghafur semasa majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Penubuhan SPANS. -Gambar PENERANGAN

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan kerajaan Sarawak tidak akan memberi tekanan atau mengganggu urusan perkhidmatan awam negeri.

Beliau berkata, kerajaan bawah pimpinannya akan bersikap profesional kerana ia merupakan kriteria kepada perkhidmatan awam yang berkualiti di negeri ini.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa kerajaan pimpinan saya tidak akan memberikan tekanan kepada perkhidmatan awam negeri.  

"Kita harus bertindak secara profesional dan itu adalah kriteria untuk mempunyai perkhidmatan awam yang berkualiti," katanya sempena majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) di sini, hari ini.

Abang Johari menambah, pemilihan itu harus berdasarkan pada kriteria profesionalisme untuk menarik orang ramai menggunakan perkhidmatan awam ini.

“Perkhidmatan awam adalah enjin kepada kerajaan dan maka itu, SPANS perlu menyesuaikan diri dengan keperluan masa depan selaras dengan visi kerajaan Sarawak menuju ke arah ekonomi digital,”ujarnya.

Menurutnya, Sarawak memerlukan penjawat awam yang berwawasan yang boleh membantu kerajaan merealisasikan visinya.

“Sudah tentu kerajaan mempunyai visi tetapi pelaksana seperti penjawat awam adalah signifikan untuk merealisasikan objektif kita (kerajaan),” katanya.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk penjawat awam memahami matlamat Sarawak dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID19 (PCDS) 2030 bagi memudahkan urusan menarik pelaburan ke negeri ini.

“Ini akan meningkatkan dan mengukuhkan ekonomi seterusnya membuka peluang pekerjaan. Maknanya, penjawat awam harus bergerak ke hadapan seperti mana sektor swasta atau konglomerat besar dikendalikan, dan bukannya sebelum ini,” tegas beliau.

Hadir sama, Pengerusi SPANS, Datu Abdul Ghafur Shariff; Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion serta tetamu kehormat lain.
 

  • oleh
  • Advertisement