Anda di sini

Kadar sewa RM5 sehari adalah atas persetujuan penjaja harian di tamu sementara Bekenu

Advertisement
PATUH SOP: Ripin mengadakan 'walkabout' di sekitar tamu Taman Tunku semalam sebagai usaha mendekati rakyat di kawasan DUN Lambir.

MIRI: Kadar sewaan RM5 sehari yang dikenakan oleh Majlis Daerah Subis (MDS) kepada penjaja harian di tamu sementara simpang Bekenu dipersetujui oleh semua penjaja yang berminat berniaga di tapak itu.
    
Penyandang kerusi DUN Lambir yang juga calon GPS di konstituensi tersebut pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) kali ini, Dr. Ripin Lamat menjelaskan sedemikian sebagai membetulkan fakta yang disebut calon PKR, Zulhaidah Suboh dalam kenyataan medianya yang dimuat naik di laman sosial Facebook semalam.
    
Menurut Ripin, memandangkan tamu simpang Bekenu masih dalam proses pembinaan untuk dibangunkan sebagai Market Bersepadu Simpang Bekenu oleh pihak FAMA Negeri Sarawak, pihak MDS telah mewujudkan tamu sementara di kawasan letak kereta berhampiran.
    
"Tamu sementara ini diwujudkan atas kerjasama pihak Persatuan Penjaja Simpang Bekenu sebagai memberi ruang kepada penjaja harian berniaga di situ demi kelangsungan hidup mereka.
    
"Manakala kadar sewaan RM5 sehari yang dikenakan oleh pihak MDS pula adalah atas persetujuan penjaja harian yang berminat berniaga di situ dengan menggunakan kanopi," jelasnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
    
Sebagai menyahut seruan kerajaan untuk meringankan beban rakyat ketika berdepan waktu sukar semasa pandemik COVID-19, kutipan sewaan RM5 dihentikan sejak Januari sehingga Julai tahun ini.
    
Sementara kutipan RM18 sebulan, Ripin menjelaskan ia adalah bayaran permit tamu bulanan bagi penjaja berlesen dengan pihak MDS dan mereka diberikan diskaun 50 peratus untuk sewaan bulanan tersebut serta pengecualian bayaran permit di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 5.0) dan BKSS 6.0 sehingga hujung tahun ini.
    
Malah menurut beliau, semua penjaja sama ada berlesen atau sebaliknya diberikan bantuan sebanyak RM1,500 seorang di bawah BKSS sebagai meringankan beban mereka.
    
Dalam pada itu, Ripin menjelaskan kawasan tamu itu turut dilengkapi beberapa kemudahan seperti sumber air terawat, petak lot jualan serta tandas awam.
    
"Keadaan jalan masuk dan keluar ke kawasan tamu yang sentiasa sesak, jelas membuktikan bahawa tamu tersebut sentiasa penuh dengan pelanggan sehingga jam 7 petang dan ini sekali gus menunjukkan bahawa aktiviti jualan penjaja juga sentiasa rancak seperti sedia kala," ujarnya.
    
Sementara itu katanya, apabila Market Bersepadu Simpang Bekenu siap sepenuhnya kelak, pihak FAMA akan menemu duga penjaja yang berminat untuk mengisi lot jualan yang telah disediakan.
    
Manakala bagi mereka yang tidak berjaya mendapatkan lot, pihak MDS akan menyediakan ruang di bahagian luar untuk mereka berniaga dengan kadar sewaan RM5 sehari.
    
Pada PRN12 kali ini, Ripin akan dicabar oleh tiga calon wanita terdiri daripada Zulhaidah Suboh, Lila Mohamad dari PSB dan Dyanne Oshield Nickson dari PBK.

  • oleh
  • Advertisement