Anda di sini

Idris tanding AMT PBBS, harap perwakilan beri kepercayaan untuk martabat persatuan

Advertisement
MOHD IDRIS ABD KAHAR
MOHD IDRIS ABD KAHAR



BEAUFORT: Calon Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) Mohd Idris Abd Kahar (gambar) merancang untuk memperhebatkan lagi persatuan itu sekiranya terpilih sebagai AMT pada pemilihan kali ini.


Antara agenda yang akan beliau fokuskan adalah dengan menarik lebih ramai golongan belia ke dalam persatuan itu bagi memastikan penglibatan orang muda dapat menyumbang kebolehan masing-masing untuk memartabatkan persatuan itu.


Sekiranya terpilih, beliau akan mencadangkan perkara itu kepada pucuk pimpinan persatuan untuk melaksanakan pendekatan yang sesuai agar keahlian orang muda dapat dipertingkatkan agar memberi manfaat kepada persatuan itu sendiri.


"Saya harap perwakilan memberikan saya kepercayaan pada pemilihan kali ini bagi membolehkan saya melaksanakan pendekatan yang bersesuaian agar belia lebih yakin untuk menyertai PBBS.


"Sekiranya terpilih sebagai AMT, belia-belia sudah tentu yakin untuk terlibat dalam persatuan dan ini memudahkan saya berkempen untuk menarik mereka menyertai PBBS.


"Dalam pada itu, bagi memastikan belia dalam persatuan ini terus aktif, saya akan merancang untuk melaksanakan pelbagai aktiviti memandangkan saya mempunyai pengalaman sebelum ini sebagai Setiausaha Biro Belia PBBS, " katanya.


Disamping menggalakkan penyertaan belia, Idris turut merancang untuk memartabatkan kebudayaan dan adat resam masyarakat Bisaya dengan mempergiatkan lebih banyak tarian kebudayaan, penguasaan bahasa ibunda, dan makanan tradisi agar warisan itu terus terpelihara.


Selain itu, beliau akan terus menekankan beberapa aspek yang dapat melahirkan kepimpinan muda menerusi PBBS bagi memastikan generasi akan datang dapat meneruskan agenda serta perjuangan PBBS.


"Dalam persatuan, saya juga ingin menonjolkan kebolehan orang muda yang boleh diketengahkan sebagai pemimpin bagi memastikan mereka dapat berjuang menaikkan PBBS.

 
"Namun apa yang penting, segala usaha dan aspirasi pimpinan terdahulu akan diteruskan dan ditambahbaik bagi memartabatkan persatuan ini ke peringkat yang lebih maju, " katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement