Anda di sini

Bajet Sabah 2022 perlu ke arah melestari kemudahan asas luar bandar

Advertisement
JAUJAN
JAUJAN

KOTA KINABALU: Bajet Sabah 2022 perlu melestarikan infrastruktur pembangunan luar bandar agar dapat membantu ke arah peningkatan produktiviti ekonomi kawasan terbabit.

Datuk Jaujan Sambakong (WARISAN-Sulabayan) berkata, hanya RM210.66 juta peruntukkan perbekalan dan pembangunan. Ianya hendaklah ditingkatkan kerana bajet yang dibentangkan ini masih tidak memadai terutamanya bagi keperluan menaik taraf keperluan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, bekalan elektrik luar bandar dan juga kemudahan jaringan telekomunikasi digital.

"Tumpuan pembangunan luar bandar mampu merangsang lebih aktif ke arah mewujudkan pembangunan industri, mengenal pasti beberapa industri hiliran dimana Sabah kaya dengan sumber alam.

"Disamping itu juga boleh menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini dan seterusnya menyediakan lebih banyak peluang-peluang perkerjaan bagi rakyat Sabah agar penghijrahan anak-anak Sabah ke luar negeri dapat dikekang.

"Peruntukkan Bajet 2022 diberikan kepada perkara ini adalah sebanyak RM45.96 juta untuk perbekalan dan pembangunan, ini juga masih tidak mencukupi dan perlu diambil perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ke-16 di sini, semalam.

Katanya, industri pelancongan di Sabah perlu diperkasakan dan peruntukan sebanyak RM131.93 juta untuk perbekalan dan pembangunan hendaklah diambil kira sejak mulanya pandemik COVID-19 yang menjejaskan pelbagai perniagaan berkaitan pelancongan.

Menurutnya, jumlah peruntukan Bajet untuk sektor dalam pembangunan luar bandar, pelancongan dan perindustrian ini amat penting tetapi masih tidak mencukupi. Maka adalah wajar Bajet Sabah 2022 dikaji semula.

Katanya, kerajaan negeri perlu memikirkan cara bagaimana membantu rakyat meningkatkan pendapatan dalam tiga sektor berkenaan, khususnya penyediaan peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah.
 
Selain itu katanya, apakah langkah-langkah kerajaan negeri dalam memberi pelepasan cukai untuk industri pelancongan domestik agar ianya mencapai taraf Asean Standard menjelang 2025. 

"Pelepasan cukai terutamanya bayaran cukai yang dikenakan kepada taman-taman tema sepertimana yang kenakan diperingkat persekutuan melalui akta 103 atau duti hiburan tahun 1953, sebanyak 25 peratus yang mana akhirnya dibayar oleh operator melalui caj yang dikenakan kepada pengunjung atau pelancong.

"Jika ini boleh dielakkan, Sabah negeri pertama yang melaksanakan pelepasan ini bagi merancakkan semula industri pelancongan tempatan. Ini kerana ia antara sumber utama pendapatan kerajaan negeri samping perbelanjaan RM131 juta untuk Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) yang agak besar.

"Pada masa yang sama, usaha mengurangkan cukai boleh membantu memajukan industri 
pelancongan tempatan jauh ke depan berbanding dengan negeri yang lain," katanya.

Jaujan berkata, di DUN Sulabayan sebagai contohnya, ia merupakan destinasi pelancongan yang terkenal dengan sumber alam dan keindahan seperti Pulau Sipadan, Pulau Mabul, dan Pulau Kapalai. 

Beliau menekankan kerajaan perlu memperkasakan lagi sistem kawalan keselamatan di kawasan-kawasan seperti di pulau dan menambah bilangan anggota ranjer untuk mengawasi para pelancong yang datang.

"Usaha juga diperlukan bagi memastikan jumlah pemandu pelancong yang berkemahiran dan berpengalaman untuk memastikan keselamatan pelancong yang hadir sentiasa terjamin. 

"Oleh itu, saya memohon untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur pelancongan seperti menaik taraf jeti pendaratan bot-bot pelancong yang mana ia dibina melalui bahan binaan konkrik," katanya.

Dalam pada itu, Jaujan turut meminta penjelasan mengenai satu perkara yang tular dalam media sosial mengenai pengeluaran kad pengenalan sementara oleh kerajaan hari ini.

"Adakah perkara ini benar yang mana kerajaan negeri dan persekutuan telah melaksanakan usaha itu.

"Ini kerana kad pengenalan sementara itu tular dalam media sosial yang merujuk kepada pemegang yang beralamat di Kampung Dato Tebobon 88450 Menggatal, Sabah," katanya.

  • oleh
  • Advertisement