Anda di sini

Azman nekad martabat PBBS sekiranya terpilih sebagai Naib Presiden

Advertisement
MOHD AZMAN LAJIM
MOHD AZMAN LAJIM



BEAUFORT: Calon Naib Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) Mohd Azman Lajim (gambar) nekad untuk memartabatkan persatuan itu ke arah yang lebih baik sekiranya diberi peluang oleh perwakilan pada pemilihan kali ini.


Beliau yang merupakan anak sulung kepada Allahyarham Janang Gayuh Datuk Seri Panglima Lajim Ukin percaya potensi yang ada pada dirinya itu mampu membawa persatuan itu ke tahap yang disasarkan dan dibanggakan.


Katanya hasrat dan perancangan untuk mengangkat persatuan itu oleh Allahyarham (Lajim) perlu diteruskan, justeru beliau merayu kepada perwakilan supaya memberikan peluang kepadanya untuk berada dalam barisan pimpinan persatuan agar dapat mengetengahkan perkara-perkara yang dapat menyumbang kepada persatuan.


Antara aspek yang akan ditambah baik sekiranya beliau dipilih oleh perwakilan adalah dengan melibatkan lebih ramai belia Bisaya dalam persatuan yang beliau percaya penglibatan anak muda bukan sahaja dapat mengukuhkan PBBS tetapi juga membawa kecemerlangan pada masa hadapan.


Disamping itu, Azman turut meletakkan fokus untuk membangunkan sosio-ekonomi masyarakat Bisaya dengan sasaran untuk melahirkan ramai usahawan berjaya dalam kalangan belia Bisaya.


Selain itu, beliau juga akan menjalin kerjasama yang baik diantara barisan pimpinan PBBS baharu bagi memastikan persatuan itu sentiasa berada di landasan yang betul.


"Saya akan memastikan PBBS sentiasa berada di landasan yang betul agar persatuan ini terus mantap dan kekal relevan untuk ahli-ahlinya di seluruh Negeri Sabah, " katanya.


Dalam pada itu, beliau juga mahu meneruskan kerja-kerja kebajikan telah dipesan oleh Allahyarham (Lajim) untuk sentiasa membantu masyarakat Bisaya yang memerlukan pertolongan lebih-lebih mereka yang dalam kesusahan.


"Saya sentiasa berpegang kepada nasihat Allahyarham supaya sentiasa membuat kebajikan kepada masyarakat dan bersedekah kepada orang yang memerlukan.


"Arwah bapa selalu berpesan, jangan sesekali ungkap 'tiada' sekiranya orang meminta bantuan atau pertolongan kita tetapi hulur lah sedikit sumbangan walaupun tidak seberapa, " katanya.

  • oleh
  • Advertisement