Anda di sini

60 tahun tiada kad pengenalan, kini diuji kanser payudara

Advertisement
Tangkap layar dari rakaman video disiarkan di akaun YouTube Kam Agong memaparkan Mebpung menceritakan liku-liku hidupnya yang tanpa kad pengenalan diri sehingga menyukarkan rawatan kansernya.
Tangkap layar dari rakaman video disiarkan di akaun YouTube Kam Agong memaparkan Mebpung menceritakan liku-liku hidupnya yang tanpa kad pengenalan diri sehingga menyukarkan rawatan kansernya.

LAWAS: Bagaikan jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib dihadapi wanita warga emas dari Long Sukang di sini, Mebpung Akup yang selama 60 tahun tidak mempunyai kad pengenalan diri Malaysia dan kini terpaksa berbelanja besar untuk membiayai rawatan kanser payudara yang dihidapinya. 

Mebpung berkata beliau yang lahir pada tahun 1961 di sini telah berkahwin dengan suaminya warga tempatan selama 42 tahun dan mempunyai lima orang anak, kesemua anaknya mempunyai kad pengenalan. 

"Dari dulu sampai sekarang saya dan suami turun naik pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi proses membuat kad pengenalan tetapi sampai kini tiada satu pun jawapan yang menyenangkan diterima. 

"Suami saya sejak tahun 1981 lagi berusaha membantu saya untuk dapatkan kad pengenalan, ketika itu bapa saya sudah meninggal dunia. 

"Padahal apa yang mereka (JPN) minta semua saya beri seperti salinan kad pengenalan dan surat beranak adik beradik dan anak-anak, semua gambar adik beradik dan keluarga tetapi sampai kini masih tiada jawapan," katanya menerusi rakaman video yang disiarkan di akaun YouTube Kam Agong pada Selasa. 

Kemudiannya pada tahun 2017, Mebpung mengesaki terdapat ketumbuhan di payudara sebelah kanannya dan setelah diperiksa di hospital mengesahkan ia adalah kanser payudara. 

Menurut calon Bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba'Kelalan, Agnes Padan, ketika Mebpung mula mengesyaki ketumbuhan tersebut, dia terpaksa berdiam diri dan tidak mendapatkan rawatan kerana bimbang akan kos rawatan yang mahal disebabkan ketiadaan kad pengenalan. 

"Sehinggalah dia bertemu dengan saya, saya sendiri membawa makcik (Mebpung) ke Hospital Lawas dan membuat temu janji dengan doktor pakar dari Miri hari berikutnya. 

"Makcik ini telah membuat biopsi di Hospital Miri dan CT Scan (Imbasan Tomografi Berkomputer) di Hospital Limbang dan didapati mengidap kanser payudara tahap empat," ujarnya kepada Utusan Borneo, di sini. 

Agnes menjelaskan isu kewarganegaraan adalah sangat serius dan kesan-kesannya adalah seperti yang terpaksa dilalui oleh Mebpung terima walaupun sangat pahit. 

"Awal bulan Disember ini tadi doktor hubungi saya memberitahu makcik menghidap kanser payudara tahap empat. Sekiranya makcik mendapat rawatan awal, peluang untuk sembuh adalah tinggi. 

"Saya sendiri sangat berat hati menyampaikan berita tersebut kepada makcik tetapi perlu juga diberitahu atas permintaan doktor dan pelan rawatan seterusnya kelak," katanya. 
 

  • oleh
  • Advertisement