Anda di sini

Taman Marin Teluk Darvel dijangka diwartakan pada 2023

Advertisement
JAFRY
JAFRY

KOTA KINABALU: Taman Marin Teluk Darvel di Lahad Datu dijangka diwartakan pada 2023, selepas semua proses kajian dan pendengaran awam dilaksanakan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata,
kawasan taman berkenaan berkeluasan 117,000 hektar.

Katanya, agensi berkaitan kini sedang giat mengumpul maklumat untuk persediaan konsultasi dan pembangunan pelan pengurusan.

Pihaknya juga sedang menjalankan kajian sosiologi ke kampung-kampung bagi mendekati komunti selain melaksanakan satu ekspedisi saintifik susulan awal tahun depan.

“Konsep pelan pengurusan akan dihasilkan untuk dibincangkan dengan pihak berkepentingan, termasuk pengusaha pelancongan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP-ADUN Dilantik) sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Jafry berkata, Taman-Taman Sabah (TTS) juga sedang menyediakan pelan cadangan sempadan warta bersama penyediaan borang permohonan tanah untuk dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Ukur.

Menurutnya, ia adalah proses persediaan untuk proses niat warta yang dijangka boleh dibuat pada hujung tahun hadapan.

"Tempoh enam bulan diperlukan bagi proses konsultasi atau pendengaran awam oleh Pejabat Pemungut Hasil Tanah (PPHT) sebelum diputuskan untuk pewartaan pada 2023.

“Kelancaran proses pewartaan ini terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik COVID-19 sepanjang tahun ini," katanya.

Beliau berkata, cadangan pewartaan taman Teluk Darvel membabitkan kawasan seluas 117,000 hektar iaitu lebih kurang dua kali keluasan Singapura.
 

  • oleh
  • Advertisement