Anda di sini

Sabah rekod 307 kes baharu COVID-19

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Jumlah kes harian COVID-19 di Sabah kembali naik hari ini dengan 307 kes direkodkan, 36 kes lebih tinggi daripada jumlah kes semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata,  Kota Kinabalu kembali menjadi penyumbang utama kes harian di Sabah dengan 47 kes, pertambahan sembilan kes daripada semalam.

Katanya, Daerah Penampang mencatat 37 kes baharu dengan tambahan 18 kes, Ranau naik 12 kes dan Papar bertambah 11 kes.

Menurutnya,  Tuaran turun 11 kes dan Putatan susut 22 kes. Lima Daerah, Kalabakan, Nabawan, Kunak, Kinabatangan dan Semporna tidak mencatat sebarang kes baharu.

"Sekali lagi semua lapisan masyarakat diperingatkan agar mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tidak kira sudah menerima vaksin lengkap atau sebaliknya.

"Ini lebih-lebih pada hujung tahun, ramai keluarga bercuti atau membeli-belah di tempat yang lazim dikunjungi ramai.

"Risiko jangkitan COVID-19 secara sporadik di tempat-tempat sesak amat tinggi dan ini dibuktikan dengan peratusan kes sporadik hari ini yang mencecah hampir 44 peratus," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata, hari ini juga hampir 75 peratus kes baharu adalah dalam kalangan mereka yang sudah lengkap divaksin.

Masidi berkata, daripada 307 kes hari ini, 295 orang pesakit adalah dalam kategori satu dan dua, kategori tiga terdapat dua orang, empat orang dalam kategori empat dan dua orang dalam kategori lima.

Katanya, empat kes lagi masih dalam siasatan dan penilaian lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
 

  • oleh
  • Advertisement