Anda di sini

Masiung cadang MOF salur peruntukan awal kepada Sabah

Advertisement
 Masiung bergambar bersama beberapa wakil rakyat semasa persidangan DUN di sini.
DUN: Masiung bergambar bersama beberapa wakil rakyat semasa persidangan DUN di sini.

KOTA KINABALU: Wakil Rakyat Kuamut Datuk Masiung Banah persoalkan kelewatan Kerajaan Persekutuan menyalurkan dana pembangunan Sabah menyebabkan sebahagian besar peruntukan tidak dapat dibelanjakan.

Katanya sepertimana tahun lalu dan beberapa tahun sebelumnya dana pembangunan Sabah hanya disalurkan pada penghujung tahun dan keadaan ini menyebabkan kementerian atau jabatan di peringkat negeri tidak sempat menyediakan perincian dokumentasi. 

"Akibatnya sebahagian besar peruntukan pada tahun semasa tidak dapat dibelanjakan dan terpaksa dikembalikan untuk dikitar semula dalam peruntukan tahun berikutnya," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap membahaskan Dasar Kewangan Kerajaan bagi tahun 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ke-16 di sini.

Masiung kemudiannya mencadangkan agar Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) menyalurkan peruntukan seawal Februari atau Mac tahun depan bagi memastikan semua program pembangunan dapat dilaksanakan mengikut jadual. 

Beliau yang juga wakil Bebas itu juga mahu agar Kerajaan Persekutuan berlaku telus dalam memberikan autonomi kepada Kerajaan Negeri untuk membelanjakan peruntukan yang diberikan. 

“Saya juga menyuarakan agar Sabah tidak terlalu bergantung dengan hasil royalty petroleum dan cukai jualan minyak sawit.

“Saya bimbang sekiranya wujud manipulasi global menyebabkan harga minyak dan komuditi itu turun mendadak hingga menjelaskan ekonomi negeri. 

“Oleh itu saya cadangkan agar Kerajaan Negeri meneroka sumber mineral yang terdapat di bumi Sabah sebagai pembangunan ekonomi baharu,” katanya.

Tambahnya bumi Sabah yang kaya dengan sumber asli seperti arang batu dan clinker yang boleh diproses menjadi simen wajar diterokai sebagai sumber ekonomi yang berimpak tinggi. 

Dewan juga dimaklumkan agar kakitangan Kerajaan Negeri yang menyumbang pembangunan tadbir urus dan pelaksana dasar kerjaan perlu diberi penghargaan dengan memberi kemudahan kepada mereka memiliki rumah mampu milik yang kini sedang dirancang oleh kerajaan. 

Masiung turut mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar kakitangan kerajaan juga diberikan tambahan bonus tahunan.

  • oleh
  • Advertisement