Anda di sini

Kejohanan bola sepak PPD Ranau erat silaturahim warga pendidikan, NGO

Advertisement
 Majus (kanan) menerima cenderamata daripada penganjur dan diperhatikan oleh Rosdi (kiri).
CENDERAKENANGAN: Majus (kanan) menerima cenderamata daripada penganjur dan diperhatikan oleh Rosdi (kiri).

RANAU: Pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) berjaya muncul juara dalam perlawanan bola sepak silaturahim keluarga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Ranau, di sini.

Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Majus Munsing berkata kejohanan ini dilihat mampu mengeratkan ikatan perpaduan dan silaturahim antara semua peserta terutamanya warga pendidikan.

“Program tersebut sebagai satu amalan ‘team work’ yang padu antara organisasi, selain mewujudkan pasukan bola sepak pendidikan yang lebih proaktif.

“Kita juga mahu menggalakkan semua warga pendidikan mengamalkan gaya hidup sihat dengan cara bersukan bagi mengelak menghidapi pelbagai penyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir dalam perlawanan tersebut yang dianjurkan bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Ranau, di sini baru-baru ini.

Majus yang juga penaung bola sepak PPD Ranau berkata, walaupun keadaan padang yang becak akibat hujan lebat, namun perlawanan tersebut dapat dilangsungkan dengan jayanya.

“Semangat kesukanan yang ditonjolkan oleh semua pasukan sangat baik dan ia menunjukkan program ini berjaya mewujudkan kesatuan dalam kalangan peserta.

“Bagaimanapun, program tersebut tetap diadakan dengan mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan,” katanya.

Majus turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua guru dan pasukan Armada bahagian Ranau kerana menyertai kejohanan tersebut.

“Saya sangat berbangga kerana kejohanan ini dapat sambutan yang menggalakkan walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Penganjuran ini juga dapat merapatkan lagi hubungan antara komuniti PPD, sekolah-sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Terdahulu, pasukan SMK berjaya mengungguli kejohanan itu dengan kutipan 9 mata mengatasi naib johan pasukan Sekolah Rendah (SK) diikuti Armada Ranau dan tempat keempat pasukan PPD.

Turut hadir, Ketua Armada Ranau merangkap Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Karanaan, Rosdi Abd.Ghani; PPM Paginatan Hisyamuddin Harun dan Pengerusi Pengetua Daerah Ranau Markus Shapie.

  • oleh
  • Advertisement