Anda di sini

Sabah perlu peruntukan lebih besar dari kerajaan persekutuan

Advertisement
 Christina menunjukkan tanda bagus sebelum mulanya persidangan DUN.
BERSEDIA: Christina menunjukkan tanda bagus sebelum mulanya persidangan DUN.

KOTA KINABALU: Sabah masih memerlukan peruntukan yang lebih besar daripada kerajaan persekutuan.

Datuk Christina Liew (PH-Api-Api) berkata, peruntukan besar itu adalah bagi membantu Sabah dalam usaha meringankan krisis kesihatan dan menuju ke arah pemulihan ekonomi.

"Menurut Jabatan Perangkaan, Sabah merekodkan kejadian kemiskinan mutlak yang tertinggi iaitu 25.3 peratus pada tahun 2020 berbanding dengan 19.5 peratus pada tahun 2019.

"Selain itu, Sabah juga berhadapan dengan kekurangan kewangan untuk projek-projek mitigasi banjir (contohnya, mendalamkan atau pengorekan sungai) dan langkah-langkah memulihkan tanah runtuh.

"Selain itu, Sabah juga perlu menambahbaik sistem pengaliran di daerah-daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang terdedah kepada banjir serta kawasan-kawasan sekitar seperti Likas, Kolombong, Inanam, Telipok, Menggatal dan Sepanggar," katanya ketika  sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ke-16 hari ini.

Katanya, Sabah memerlukan dana tambahan untuk memperbaiki atau membina semula jalan raya dan jambatan yang telah dirosakkan oleh bencana alam serta juga membina loji rawatan air untuk menyelesaikan masalah bekalan air.

Katanya, sejak banjir besar belaku pada 1999, Sabah telah mengalami kejadian bencana seumpamanua hampir setiap tahun. Tahun ini saja bencana berkenaan telah menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda.

"Dengan senario ini, saya menggesa pihak kerajaan negeri merayu kepada pihak kerajaan persekutuan untuk memberikan Sabah peruntukan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada bajet keseluruhan berjumlah RM332 bilion bagi tahun 2022," katanya.

Selain itu katanya, sistem pengangkutan di negeri ini Kota Kinabalu juga perlu diperkasakan bagi mengatasi masalah kesesakan.

Katanya, perkara itu sering diumumkan kerajaan negeri sejak dahulu untuk ditambah baik tetapi sehingga kini malangnya masih belum direalisasikan.

"Saya percaya sudah tiba masanya untuk mengadakan semakan pantas ke atas pelbagai sistem yang pernah dicadangkan atau disebutkan sebelum ini, dan menghapuskan mana-mana sistem yang dianggap tidak mampan, terutamanya dari segi CAPEX iaitu (Perbelanjaan Modal atau Capital Expenditure), dan OPEX iaitu Perbelanjaan Operasi atau Operation Expenditure).

"Mungkin, kita boleh memfokuskan pada merombak model niaga bas yang sedia ada ke arah pengangkutan awam yang mampan dan melawat semula sistem bas transit laju (BRT) untuk Kota Kinabalu yang telah diumumkan oleh Kerajaan pada tahun 2015 untuk pelaksanaan pada tahun 2016," katanya.

  • oleh
  • Advertisement