Anda di sini

Batal perjanjian pengurusan hutan dengan syarikat asing

Advertisement
CHRISNADIA
CHRISNADIA

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu membatalkan perjanjian dengan syarikat milik Singapura yang memberikan hak eksklusif selama lebih 100 tahun bagi mengurus sumber alam berkenaan.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Chrisnadia Sinam berkata, perjanjian itu masih perlu diperincikan agar tidak merugikan rakyat Sabah dalam jangka masa panjang.

"Perjanjian ini dikhuatiri dibuat secara tergesa-gesa tanpa penyelidikan menyeluruh dan membuka ruang kepada syarikat luar negara untuk mengurus tadbir hutan negeri ini.

"Kita tidak mahu perjanjian berat sebelah yang memungkinkan hak hutan Sabah boleh dijual di pasaran secara terbuka sama ada melalui syarikat atau individu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, PKR Sabah berpendapat bahawa urus tadbir hutan negeri ini tidak perlu campur tangan oleh orang luar.

Katanya, Sabah sendiri mempunyai tenaga kepakaran sendiri seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk membantu dalam pemulihan dan pemeliharaan hutan negeri ini. 

"Singapura tidak mempunyai hutan dan agak mustahil mereka mampu memahami hutan kita lebih baik daripada rakyat sabah sendiri. 

"Kerajaan negeri perlu bertegas mengenai perjanjian strategik ini dan jangan sampai hutan Sabah tergadai. 

"Hal ini amat serius memandangkan keluasan hutan sabah hampir dua juta hektar dan perlu dipelihara untuk warisan generasi dan konservasi ekosistem dunia," katanya.

Menurutnya, kenyataan berbeza daripada Peguam Besar Negeri Sabah dan Timbalan Ketua Menteri Sabah baru-baru ini melalui akhbar menimbulkan keraguan berkaitan kredibiliti syarikat berkenaan. 

"Oleh itu, kita mendesak kerajaan memberi penjelasan menyeluruh kepada rakyat berkaitan dengan keuntungan dan kelebihan perjanjian ini dibuat. 

"Sebaiknya batalkan perjanjian ini dan berikan masa kepada pakar kita untuk mengkaji lebih dalam," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement