Anda di sini

Tiada kompromi dari segi pendidikan

Advertisement
Ismail Sabri (kanan) bersama Abang Johari pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di sebuah hotel di Kuching, Sabtu. - Gambar Penerangan

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak akan berkompromi dari segi pendidikan terutama melibatkan isu sekolah daif di Sarawak. 

Berucap pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di sebuah hotel di sini Sabtu, Ismail berkata kerajaan telah mengenal pasti 1,022 sekolah daif untuk dinaik taraf, dibaiki atau dibina baru di seluruh Sarawak. 

“Apabila saya dengar taklimat pembangunan Sarawak saya ditunjukkan tentang rumah-rumah guru dan sekolah-sekolah daif di Sarawak ini. 

“Saya minta menteri kewangan supaya pastikan sekolah daif ini dapat diselesaikan segera sebab tidak boleh berkompromi dari segi pendidikan kerana sekolah yang selesa tentunya memberi semangat untuk belajar,” katanya.

Tambah Ismail, kerajaan sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan di Sarawak. 

Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) misalnya dengan peruntukan RM7 juta, ia adalah untuk kita mempastikan semua kawasan termasuk luar bandar Sabah dan Sarawak mendapat capaian Internet tanpa gangguan sehingga hujung 2022.  

“Kita baca dalam media di Sabah ada pelajar terpaksa panjat pokok untuk dapatkan capaian Internet untuk pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika pandemik COVID-19. 

“Sebab itu kerajaan beri peruntukan besar supaya perkhidmatan Internet 5G dapat capaian di seluruh kawasan termasuk pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya. 

Hadir sama pada majlis itu Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta yang lain. 

  • oleh
  • Advertisement