Anda di sini

Sabah terus merekodkan penurunan kes COVID-19

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 294 kes baharu COVID-19 hari ini dengan penurunan sebanyak 57 kes berbanding hari sebelumnya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, secara keseluruhan, kedudukan kes di daerah-daerah adalah bercampur-campur yakni mencatatkan turun naik setiap hari. 

"Kota Kinabalu masih mencatatkan jumlah kes yang tertinggi di Sabah hampir setiap hari dan jumlah hari ini ialah 60 kes.

"Tuaran penyumbang kedua tertinggi dengan 33 kes baharu tetapi mencatat pengurangan 17 kes berbanding kelmarin," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Ranau merekodkan 28 kes baharu dengan pengurangan lima kes berbanding kelmarin. Anggota 'Empat Serangkai' yang keempat ialah Kota Belud mencatat 13 kes sahaja berbanding 41 kes pada hari sebelumnya.

Katanya, jumlah dan peratusan yang tinggi setiap hari bagi kes-kes adalah berpunca daripada jangkitan sporadik. Ini harus dilihat sebagai satu amaran dan peringatan kepada semua agar mengelak daripada berkunjung ke kawasan yang ramai orang bagi mengurangkan risiko jangkitan.

"Semua SOP juga perlu dipatuhi setiap masa. Kita baru sahaja dikejutkan dengan varian baharu Omicron yang dikatakan menjangkit lebih cepat daripada varian sebelumnya.

"Peratusan kes jangkitan sporadik hari ini ialah 36 peratus, kelmarin 38 peratus dan pada 3 Disember lalu hampir 42 peratus," katanya.

Menurutnya, daripada 294 kes hari ini, 287 kes adalah dalam Kategori 1 dan 2, seorang dalam Kategori 3, dua orang dalam Kategori 4 dan seorang dalam Kategori 5. Tiga kes lagi masih dalam penilaian lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
 

  • oleh
  • Advertisement