Anda di sini

Peranan penting pengamal media bantu pengundi buat pilihan tepat

Advertisement
Sharifah Hasidah menyampaikan Anugerah Ketua Menteri bagi kategori bahasa Inggeris kepada Sharon sambil disaksikan oleh Jacqueline. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Pengamal media digesa untuk terus memainkan peranan dalam membantu pengundi membuat keputusan yang tepat semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia penting bagi membolehkan kerajaan yang baik dan kukuh dapat diwujudkan untuk  terus membangunkan negeri ini.

“Media kita di Sarawak telah banyak membantu dalam menyebarkan maklumat kepada orang ramai sekali gus bertindak sebagai jambatan penghubung antara kerajaan dan rakyat.

“Memandangkan Sarawak kini akan menghadapi PRN12, saya yakin mereka akan terus memainkan peranan tersebut agar kerajaan yang baik dan kukuh dapat dibentuk selepas 18 Disember ini,” katanya pada majlis Anugerah Kewartawanan Kenyalang (KJA) 2021 di sini, malam Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, pengamal media adalah antara petugas barisan hadapan yang turun padang ketika penularan wabak COVID-19.

Mereka katanya, telah memainkan peranan penting dalam memaklumkan orang ramai tentang perubahan dalam peraturan, kemas kini kes, prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya.

“Ini bagi memastikan semua pihak sentiasa mendapat maklumat terkini tentang apa yang berlaku dan seterusnya memainkan peranan untuk menghindari wabak ini.

“Kita bersyukur kerana dapat membantu media dengan mempercepatkan vaksinasi mereka bersama-sama petugas barisan hadapan yang lain selain menyediakan bayaran tunai RM1,500 secara one-off di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) .

‘’Malah, kini kita juga sedang membantu media mendapatkan dos penggalak bagi terus melindungi mereka daripada wabak ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap media akan terus mengetengahkan informasi mengenai pelbagai perkembangan pembangunan yang sedang dilaksanakan di negeri ini.

Hadir sama, Presiden Persekutuan Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) Jacqueline Radoi David.

  • oleh
  • Advertisement