Anda di sini

Jururawat lelaki AS rogol pesakit kurang upaya dipenjara 10 tahun

Advertisement
 

LOS ANGELES: Seorang jururawat yang merogol dan menyebabkan seorang wanita kurang upaya mengandung ketika di bawah jagaannya telah dipenjarakan selama 10 tahun di negeri Arizona, Amerika Syarikat (AS), lapor media tempatan kelmarin.

Nathan Sutherland mengaku mendera secara seksual pesakitnya yang berusia 29 tahun ketika itu di fasiliti di Phoenix, di mana dia dirawat sejak berusia tiga tahun.

Mangsa, yang tidak dinyatakan namanya, mengalami kecacatan mental yang ketara disebabkan oleh serangan penyakit tiba-tiba pada awal usia kanak-kanaknya, menurut keluarganya.

“Dia tidak mampu bercakap namun mempunyai beberapa keupayaan untuk menggerakkan anggota badan, kepala dan leher,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan melalui peguam mereka.

“Anak perempuan mereka memberikan respons kepada bunyi dan mampu untuk membuat mimik muka. Perkara penting adalah dia merupakan seorang anak perempuan yang sangat disayangi, biarpun dengan kecacatan intelektual yang ketara.”

Seorang bayi sihat telah dilahirkan hasil daripada serangan pada Disember 2019.

Kakitangan di pusat rawatan kesihatan itu menyatakan, mereka tidak menyedari bahawa wanita muda itu mengandung sehingga tiba masa dia melahirkan bayinya. — AFP
 

Advertisement