Anda di sini

Agrobank buka cawangan ke-139 di Beluran

Advertisement
 Ronald (tengah) memotong riben perasmian cawangan Agrobank di Beluran.
RASMI: Ronald (tengah) memotong riben perasmian cawangan Agrobank di Beluran.

BELURAN: Agrobank meluaskan rangkaiannya di Sabah dengan pembukaan cawangan yang ke-139 di Beluran, di sini semalam.

Ia sejajar sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dengan fokus untuk memastikan kelestarian dan pembangunan dalam sektor pertanian.

Faktor ekonomi, pertanian dan industri pemprosesan makanan di Beluran khususnya menerusi sub-sektor tanaman, perikanan serta penternakan seperti perusahaan burung walit menjadikan daerah ini dipilih untuk pembukaan cawangan Agrobank.

Pemilihan daerah ini juga membuktikan komitmen Agrobank dalam memenuhi mandat yang telah didukung untuk membantu membangunkan golongan unserved dan underserved khususnya di kawasan luar bandar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata melalui kemudahan pembiayaan yang holistik dan mampan, kegiatan ekonomi penduduk dapat dipertingkatkan.  

“Bermula 1 Januari hingga 31 Oktober 2021, sebanyak RM191 juta kelulusan pembiayaan Agrobank telah dicatatkan di Sabah.

“Daripada jumlah itu, RM2.8 juta pembiayaan terkumpul telah dicatatkan di kawasan Beluran dan telah memanfaatkan seramai 90 orang penerima pembiayaan,”katanya ketika merasmikan pembukaan Agrobank di sini, semalam.

 Ronald tandatangan plak perasmian cawangan Agrobank Beluran.
TANDATANGAN: Ronald tandatangan plak perasmian cawangan Agrobank Beluran.

Ronald memuji langkah proaktif Agrobank membuka sebuah lagi cawangan di Sabah kerana sebelum ini, penduduk di Beluran terpaksa ke Sandakan dimana jarak perjalanannya sejauh 82 kilometer.

“Ia sangat menyukarkan penduduk di sini untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan yang holistik seperti pembukaan akaun, pembiayaan berasaskan pertanian dan pengguna, ATM, CDM serta takaful,” katanya.

Katanya, Agrobank akan terus membantu dalam pembangunan sektor mikro yang menawarkan pembiayaan mikro sehingga RM75,000 tanpa kadar keuntungan atau kosong caj bagi tempoh enam bulan pertama beserta kemudahan moratorium enam bulan.

“Ini menunjukkan kerajaan sentiasa komited membantu usahawan mikro dan ia perlu dilaksanakan bersama-sama dengan semua pihak termasuk penglibatan pihak swasta.

“Justeru, saya menyeru usahawan tani khususnya penduduk Beluran supaya terus meneroka dan merebut peluang yang tersedia untuk memajukan sektor pertanian negara,”katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Khadijah Iskandar berkata  cawangan Agrobank di Beluran berpotensi besar dalam membantu mengukuhkan ekonomi setempat kerana aktiviti pertaniannya yang unik.

“Kami komited dan optimis membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi setempat menerusi produk serta perkhidmatan yang ditawarkan kerana ia meliputi semua proses di sepanjang rantaian nilai pertanian.

“Pembukaan Agrobank di sini sangat tepat kerana sebelum ini, penerima pembiayaan terpaksa ke Sandakan untuk mendapatkan perkhidmatan perbankan.

“Saya berharap, pembukaan cawangan ini dapat membantu komuniti setempat berjaya dalam sektor pertanian menerusi perkhidmatan perbankan yang ditawarkan,” katanya.

 Ronald turut beramah mesra dengan kakitangan Agrobank Beluran.
LAWAT: Ronald turut beramah mesra dengan kakitangan Agrobank Beluran.

Pada majlis yang sama, Ronald turut menyampaikan bakul makanan sumbangan daripada Agrobank kepada 200 penerima yang bernilai RM20,000 menerusi program MAFI Prihatin bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Ronald juga menyampaikan Kad Pintar Keluarga Peladang (PELADANG-i) berkonsepkan perbankan dengan menggabungkan ciri tiga dalam satu menerusi kad Co-Brand Agrobank kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran.

PELADANG-i boleh dijadikan kad identiti keahlian PPK, dengan fungsi pembayaran transaksi tanpa tunai serta dilengkapi perlindungan Takaful Kasih Plus sehingga RM5,000 hanya dengan bayaran RM5 setahun.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Samad Jambri; Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pegawai Daerah Beluran, Nordin Daling.

  • oleh
  • Advertisement