Anda di sini

Yakin Belanjawan 2022 beri manfaat : Zainuddin

Advertisement
ZAINUDDIN SABU
ZAINUDDIN SABU

KOTA KINABALU: Ketua Armada BERSATU Beluran, Zainuddin Sabu (gambar) yakin rakyat terutama ibubapa amat menghargai komitmen kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam soal pendidikan semasa pembentangan Belanjawan 2022 oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Jumaat.

Bantuan pendidikan yang diperkenalkan tahun lalu iaitu, Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang dijangka diteruskan pada tahun hadapan diyakini diterima baik ibu bapa yang rata-rata masih terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Dalam Belanjawan 2022 itu juga, anak Sabah yang lahir pada tahun hadapan layak menerima Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) yang akan dimasukkan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM100 sumbangan kerajaan negeri.

Insentif yang diperkenalkan kerajaan negeri kata Zainuddin, dilihat memberi manfaat dalam jangka masa panjang yang diyakini berupaya memastikan pendidikan anak Sabah lebih terjamin lebih-lebih lagi kepada golongan B40.

"Saya menyambut baik pembentangan bajet yang diumumkan oleh Ketua Menteri kerana ianya memberi banyak manfaat kepada rakyat dan saya juga yakin ibu bapa di Sabah turut menghargai bajet itu.

"Semasa tempoh sukar ketika ini yang mana masih ada sebilangan rakyat berdepan dengan kesukaran akibat pandemik yang telah menjejaskan pendapatan mereka, saya yakin bantuan-bantuan pendidikan yang perkenalkan dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Borneo apabila diminta mengulas mengenai pembentangan Belanjawan 2022 oleh Hajiji semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, Zainuddin turut berharap kerajaan negeri akan turut memberikan perhatian terhadap aspek pembangunan luar bandar dengan memberikan keutamaan terhadap pembangunan yang mendesak bagi memastikan pembangunan mapan.

"Saya amat berharap peruntukan pembangunan yang dicadang dalam Belanjawan 2022 itu dilaksana dengan sebaik mungkin dan dipantau bagi memastikan pelaksanaannya menepati piawaian agar memberi manfaat berpanjangan, " katanya.
 
  • oleh
  • Advertisement