Anda di sini

Teater muzikal Puteri Santubong ditayangkan secara langsung 11, 12 Disember ini

Advertisement
Abdul Karim merakam kenangan bersama barisan pelakon, pengarah dan krew serta tetamu kehormat pada sidang media teater muzikal Puteri Santubong The Warrior Princess di Kampung Budaya Sarawak hari ini.
Abdul Karim merakam kenangan bersama barisan pelakon, pengarah dan krew serta tetamu kehormat pada sidang media teater muzikal Puteri Santubong The Warrior Princess di Kampung Budaya Sarawak hari ini.

SANTUBONG:  Teater muzikal Puteri Santubong 'The Warrior Princess' akan disiarkan secara langsung (live streaming) sebagai inisiatif terbaik untuk penganjuran acara berskala besar sekali gus menjangkau bilangan peserta yang lebih ramai.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, biarpun berdepan dengan krisis COVID-19, Sarawak perlu mengekalkan kesinambungan promosi seni, budaya dan juga peluang perniagaan di negeri ini.

Oleh itu, katanya, teater drama muzikal ini menjadi acara istimewa buat rakyat Sarawak terutama Kampung Budaya Sarawak yang akan mempersembahkan festival muzikal baharu secara langsung di sini.

“Pada 11 dan 12 Disember ini, teater muzikal Puteri Santubong The Warrior Princess akan dipentaskan secara langsung di Kampung Budaya Sarawak melalui laman web acara www.putrisantubong.com.

“Teater muzikal ini dianjurkan selaras dengan objektif Kementerian  Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk mempromosikan acara budaya dan muzik tempatan di dalam Kalendar Acara Antarabangsa kita,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dijemput untuk membeli tiket secara langsung yang dijual melalui laman web www.putrisantubong.com pada harga RM20 bagi setiap akses.  

"Drama muzikal ini juga menawarkan dua jenis makan malam dan harga tiket pertunjukan langsung dengan harga RM150 dan RM200 setiap seorang untuk persembahan pada 12 Disember ini nanti

"Makan malam akan diadakan pada jam 7 malam hingga 8.30 malam dan diikuti dengan drama muzikal  yang bermula jam 9 malam hingga 10.30 malam," katanya.

Teater muzikal Putri Santubong The Warrior Princess mengisahkan lagenda epik tentang kehebatan dan kegemilangan sebuah empayar di bawah pemerintahan Putri Santubong yang membina tamadun di Nusantara.  

Ia dibintangi primadona negara, Maya Karin sebagai Putri Santubong diikuti selebriti seperti Azreal Ismail yang memegang watak Kijang Mas, Soffi Jikan (Iswaraja), Dewi Liana Seriestha (Putri Sejinjang) dan Anding Indrawani (Dato Nakhoda). 

Terdahulu, treler video teater muzikal ini telah dilancarkan secara rasmi pada 7 November 2021 di laman web rasmi www.putrisantubong.com dan semua media sosial seperti laman Facebook, YouTube, Instagram, Tik Tok dan KLook.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web rasmi www.putrisantubong.com atau hubungi Kampung Budaya Sarawak di talian 082-846108 atau 082-846411.
 

  • oleh
  • Advertisement