Anda di sini

SPS, SPK inisiatif kerajaan negeri sedia lot kediaman selesa

Advertisement
Awang Tengah (tiga kiri) menyerahkan Warta Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 kepada seorang penduduk, kelihatan Paulus (kiri) dan Dr Abdul Rahman.
Awang Tengah (tiga kiri) menyerahkan Warta Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 kepada seorang penduduk, sambil disaksi Paulus (kiri) dan Dr Abdul Rahman.

LIMBANG: Projek Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK), inisiatif kerajaan negeri bagi menyediakan lot-lot kediaman yang lebih selesa, terancang serta lengkap dengan kemudahan asas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek ini lebih tersusun dengan menggunakan pendekatan baharu menerusi penambahbaikan infrastruktur asas seperti jaringan jalan raya yang  dinaik taraf kepada jalan berturap, lot-lot ditembok dan sistem perparitan konkrit.

“Semua ini akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak dengan kos lebih kurang RM100,000 hingga RM120,000 satu lot.

“Satu lagi inisiatif baharu dalam SPS dan SPK adalah mengurangkan kadar premium sebanyak 50 peratus iaitu tidak melebih RM2,500,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Warta Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri disini hari ini.
 
Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerusi Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (Pengurusan) Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmood, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denny Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan  Penguasa JTS Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Saperi.
 
Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan  Sumber Asli Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata lagi, projek sama juga dilaksanakan di daerah ini.

“Di Limbang kita juga melaksana program SPK dan SPS yang sudah  dilulus dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagaimanapun tergendala akibat pandemik COVID-19 dan akan ditambah lagi dalam RMK12,” ujarnya.

Katanya Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak berjaya menyukat secara perimeter seluas sejuta  hektar atau 2.48 juta ekar tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) untuk tempoh 11 tahun.

“Daripada jumlah tersebut seluas 778,439 hektar atau 1.92 juta ekar telah diwartakan.

“Bayangkan betapa jauh perbezaan hasil penyukatan melalui Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu yang bermula tahun 2010 hingga kini, berbanding program penyukatan lama (1960 hingga 2010),” katanya.

Awang Tengah berkata program yang mula dilaksanakan pada 2010 itu sangat efisien dan penting dalam menentukan persempadanan tanah NCR yang jelas serta didaftarkan di dalam daftar tanah dan Warta Rizab Komunal Bumiputera.

  • oleh
  • Advertisement