Anda di sini

Sabah sokong pindaan RUU perlembagaan persekutuan selari dengan MA63

Advertisement
 Hajiji (tengah), Maximus (kanan) dan Ronald ketika di sesi taklimat berkenaan.
BINCANG: Hajiji (tengah), Maximus (kanan) dan Ronald ketika di sesi taklimat berkenaan.

KOTA KINABALU: Sabah menyokong penuh cadangan untuk meminda Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan agar selari dengan peruntukan termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ia merupakan usaha berterusan yang dilakukan oleh Sabah dan Sarawak.

Katanya, Sabah dan Sarawak telah menghantar permintaan dalam soal berkenaan pada Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri.

"Pindaan RUU dalam Perlembagaan Persekutuan sebenarnya adalah hasil daripada keputusan Majlis Khas MA63 yang mengambil kira permintaan dari Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan negeri melihat pembentukan Majlis Khas MA63 adalah fasa penting dan manifestasi daripada kerajaan hari ini untuk menyelesaikan isu-isu yang telah dipersetujui sebelum ini," katanya pada sesi taklimat mengenai Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun juga telah ditubuhkan untuk mengadakan perundingan bagi mendapatkan lebih banyak perkongsian hasil pendapatan minyak dan gas daripada Petronas.

Katanya, beliau sendiri telah berjumpa dengan Presiden Petronas bagi membincangkan  Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang mana akan ditandatangani dalam masa terdekat.

"Menerusi CCA, Sabah akan menerima lebih banyak pendapatan dan penyertaan dalam membuat keputusan berkaitan perkara minyak dan gas di negeri ini

Sesi taklimat khas yang diadakan adalah bertujuan menyediakan pandangan-pandangan Wakil Rakyat mengenai perkembangan terkini permintaan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak yang sudah dihantar ke kerajaan persekutuan menerusi Majlis Khas MA63

Hadir sama ialah Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Maximus Ongkili, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta pemimpin yang lain.
 

  • oleh
  • Advertisement