Anda di sini

RM60 juta naik taraf lapangan terbang Miri dipertimbangkan

Advertisement
Wee (kiri) bertukar cendermata dengan Lee yang mewakili kementerian serupa di peringkat negeri, sambil disaksikan oleh (dua dari kiri) Gerawat, Henry dan Sebastian (dua kanan).
Wee (kiri) bertukar cendermata dengan Lee yang mewakili kementerian serupa di peringkat negeri, sambil disaksikan oleh (dua dari kiri) Gerawat, Henry dan Sebastian (dua kanan).

MIRI: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) mempertimbangkan usaha menaik taraf Lapangan Terbang Miri (LTM) dengan kos berjumlah RM60 juta melibatkan pembesaran ruang, penyambungan landasan dan membina sebuah lagi earobridge. 

Menterinya, Datuk Seri Ir Dr, Wee Ka Siong berkata, beliau akan membawa perkara itu untuk dibincangkan dengan Kementerian Kewangan, Pejabat Perdana Menteri dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU), bagi mendapatkan kelulusan dan dana. 

"Saya telah diberi taklimat bahawa (projek untuk) membesarkan ruang LTM ialah RM54 juta dan membina sebuah lagi aerobrige ialah RM6 juta menjadikan keseluruhannya ialah RM60 juta.  

"Saya balik nanti, akan membincangkan perkata ini dengan Kementerian Kewangan, EPU dan pihak Perdana Menteri, bagaimana saya boleh membantu rakyat di Sarawak, dengan menaik taraf perkhidmatan penerbangan mereka. Saya melihat tanggungjawab ini yang perlu dipikul dan diatasi bersama-sama (kerajaan negeri)," katanya. 

Beliau memberitahu demikian semasa berucap di majlis makan malam di Miri, malam tadi, bagi menjawab permintaan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin, untuk menaik taraf LTM menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa, dengan membesarkan ruang bangunan, memanjangkan landasan sedia untuk menampung pesawat lebih besar dan membina satu lagi laluan aerobridge. 

Wee memberitahu LTM wajar dipertimbangkan dan perkara ini sudah dibawa kepada dua menteri pengangkutan sebelum ini termasuk Datuk Seri Liow Tiong Lai, selain Miri juga merupakan hab kepada perkhidmatan udara ke luar bandar di Sarawak. 

"Setelah meneliti data, saya mendapati kapasiti untuk reka bentuk LTM ini adalah untuk dua juta penumpang setahun dan LTM amat konsisten sepanjang tahun, dari 2013 hingga 2019, semuanya melepasi dua juta penumpang setahun dan terakhir ialah 2.4 juta (sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia)," katanya.  

Beliau memberitahu, daripada jumlah 42 buah lapangan terbang termasuk Padang Terbang STOL (Short Take Off and Landing) di Malaysia, di Miri sahaja terdapat sembilan buah Padang Terbang STOL dan satu lapangan terbang, menjadikan jumlahnya ialah 25 peratus (dari Miri). 

"Dari data inilah, salah satu kompenan penting ialah Khidmat Penerbangan Luar Bandar (RAS). Walaupun hanya lima peratus jumlah penumang namun kesannya sangat besar. Tanpa perkhidmatan udara ini, perjalanan darat (menggunakan jalan balak) mengambil masa sehingga 12 jam ke Bario," katanya. 

Wee memberitahu, RAS ke kawasan pedalaman, seperti Ba' Kelalan, Bario, Long Banga serta Long Seridan, yang sebelum membawa seramai 18 hingga 19 orang (menggunakan pesawat Twin Otter), namun disebabkan SOP, penerbangan dihadkan kepada 9 orang sahaja setiap penerbangan. 

Bagi mengatasi masalah tersebut, Wee berkata, beliau telah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Chester Voo, bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut. 

"Maklumlah tidak lama lagi ialah pilihan raya negeri dan ini bakal menjadi satu isu. Justeru kita akan memikirkan penyelesaian termasuk menggunakan satu teknologi khusus, seperti yang dicadangkan oleh Kapten Chester," katanya tanpa mendedahkan teknologi berkenaan.  

Namun yang pasti, menurut Wee perkara itu perlu dibincang secara profesional kerana Padang Terbang STOL perlu selamat. 
 
"Aspek keselamtan amat penting dan tidak kita boleh melakukan sesuatu yang boleh menjejaskannya, perkata ini kita akan bawa kepada pihak berkaitan dengan penelitian yang khusus," katanya lagi. 

Selain Lee, turut hadir di majlis makan malam tersebut Timbalan Menteri Penangkutan, Datuk Henry Sum Agong; Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting; penyandang DUN Mulu, Datuk Gerawat Gala serta Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni. 
 

  • oleh
  • Advertisement