Anda di sini

Rampasan dadah di Kota Kinabalu meningkat tahun ini

Advertisement
ZAIDI
ZAIDI

KOTA KINABALU: Jumlah rampasan dadah di ibu negeri merekodkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata sejumlah 26,308.64 gram dadah bernilai RM584,599 yang berjaya dirampas dalam tempoh Januari sehingga November tahun ini berbanding hanya 12,364.62 gram bernilai RM479,853.49 dalam tempoh sama pada 2020.

“Ini membabitkan 10,841.03 gram syabu bernilai RM410,057 tahun ini berbanding hanya 6,334.05 gram menbabitkan nilai RM249,40 pada tahun lalu dengan diikuti 13,385.06 gram serbuk ketamin bernilai RM63,094.30 pada tahun ini dan tiada sebarang rampasan tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata jumlah bekalan pada tahun ini turut meningkat sebanyak 86 kes membabitkan 134 tangkapan berbanding 80 kes dan 119 tangkapan tahun lalu dengan peningkatan ketara pada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang meningkat kepada 55 tangkapan berbanding hanya 37 tangkapan bagi tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu katanya dalam perkembangan berasingan beliau berkata statistik jenayah indeks merekodkan pengurangan pada jenayah kekerasan dengan hanya merekodkan 78 kes tahun ini berbanding 92 kes tahun lalu.

“Hanya satu kes bunuh direkodkan tahun ini berbanding tiga kes tahun lalu manakala kes rogol turut berkurang sebanyak empat kes iaitu 12 kes tahun ini dan 16 kes tahun lalu diikuti 17 kes bagi samun berkawan tanpa senjata api dan 19 kes sama bagi tahun lalu.

“Jenayah harta benda bagaimanapun merekodkan pertambahan sebanyak 22 kes iaitu 753 kes pada tahun lalu dan jumlah ini meningkat kepada 775 kes dengan pertambahan ketara pada kes curi sebanyak 372 tahun ini dan 288 tahun lalu diikuti 268 kes pecah rumah tahun ini berbanding hanya 253 tahun lalu,” katanya.

Tambahnya kes seksual turut meningkat kepada 44 kes tahun ini berbanding 27 kes tahun lalu dan peratusan kes selesai menunjukkan 38 kes tahun ini dan 25 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

  • oleh
  • Advertisement