Anda di sini

PSB umum manifesto penuh selepas hari penamaan

Advertisement
 

SIBU: Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan mendedahkan manifesto penuh parti sejurus selepas hari penamaan calon pada 6 Disember ini, ujar Presidennya, Dato Sri Wong Soon Koh (gambar).

Menurutnya, antara manifesto PSB ialah memberi bantuan kewangan kepada setiap keluarga yang mempunyai anak berusia satu hari hingga 15 tahun.

"Bagi keluarga yang mempunyai anak berumur bawah satu tahun, kita akan beri RM200 sebulan setiap seorang. Bagi anak berusia dua hingga lima tahun akan diberi RM300 seorang setiap bulan.

"Sementara anak berumur enam hingga 15 tahun akan mendapat RM500 seorang setiap bulan," ujarnya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan kepada keluarga memerlukan dari DUN Bawang Assan, hari ini.  

Wong yang juga penyandang kerusi DUN Bawang Assan berkata, bantuan itu bagi meringankan beban setiap keluarga terutama keluarga muda yang sentiasa bergelut menambah pendapatan serta menyara keluarga mereka.

"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk berkongsi kekayaan negeri dengan orang ramai agar kehidupan rakyat lebih bermakna. Inilah apa yang PSB akan lakukan," jelasnya. 

Dari segi perumahan, beliau berkata banyak rumah panjang di seluruh tempat yang berada dalam keadaan usang.

"Jika diberi peluang, kita akan beri setiap pintu bilik di rumah panjang RM20,000 untuk naik taraf dan memperbaiki rumah terutama dari segi kebersihan.

"Dan jika mereka mahu buat rumah panjang baharu,  kita akan beri RM50,000 setiap pintu. Selain itu, kita juga akan memastikan surat hakmilik tanah diberikan kepada setiap rumah panjang," ujar Wong.

Ditanya mengenai peluang mempertahankan kerusi DUN Bawang Assan, penyandang selama enam penggal itu yakin mampu mempertahankan kerusi itu yang dimenanginya sejak tahun 1991.

"Saya percaya saya telah membuat membuat kerja dengan baik selama ini. Ramai penduduk yang mengenali saya dan diharap mereka akan terus memilih saya sebagai wakil rakyat mereka.

"Walaupun kali ini menyaksikan pertandingan yang sengit, namun saya mempunyai keyakinan untuk mempertahankan kerusi DUN Bawang Assan," tegasnya.

Wong turut memberitahu, sudah tiba masanya untuk rakyat Sarawak mengubah kerajaan yang telah memerintah negeri ini sejak 58 tahun lepas.
 
"Berilah peluang kepada PSB yang merupakan parti bebas dan pelbagai kaum berasal dari Sarawak, yang tidak bergabung atau memihak kepada mana-mana pihak," ujarnya.  
 

  • oleh
  • Advertisement