Anda di sini

PJKM bantu ringankan kos sara rakyat, hadapi situasi kenaikan harga barangan

Advertisement
 Georgie (dua kiri) semasa meninjau PJKM yang diadakan di Perkarangan Majlis Daerah Putatan.
TINJAU: Georgie (dua kiri) semasa meninjau PJKM yang diadakan di Perkarangan Majlis Daerah Putatan.

KOTA KINABALU: Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Sabah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran pengunjung hampir seribu orang. 

Pengarah Kementerian Perdagangang Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah Georgie Abas berkata PJKM yang dilaksanakan serentak di seluruh negeri di Malaysia itu sebagai inisiatif Kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dari kalangan berpendapatan rendah.

“PJKM kini diperluaskan ke Sabah dan ianya adalah kerjasama di antara KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan MOF serta agensi berkaitan dalam menangani situasi kenaikan harga barangan yang melanda dunia dan Malaysia.

“Program ini juga dirancang untuk dilaksanakan dua kali sebulan untuk tempoh tiga bulan bermula hari ini merangkumi kesemua 222 kawasan parlimen di lokasi yang akan ditentukan dan diumumkan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berada di PJKM yang turut disertai Pegawai Daerah Putatan Haryani Anah Abdul Kahar dan Ketua Pegawai Penguat kuasa Negeri KPDNHEP Sabah Taha Julai di Perkarangan Majlis Daerah Putatan.

Bercakap lanjut beliau berkata PJKM juga menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat. 

Katanya antara barangan yang dijual semasa program ini adalah keperluan barangan basah termasuk ayam, ikan, sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras serta barangan yang sudah diperoses.

“Agensi Kerajaan dan Rakan Strategik dari kalangan pemain industri yang terlibat dalam PJKM termasuklah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), dan Koperasi Pembangunan Desa (KPD) disertai pasaraya terkenal sekitar sini.

“Kita harapkan PJKM dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Katanya KPDNHEP juga mengingatkan semua peniaga agar sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan. 

“Kita juga menyeru agar rakyat bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar yang luar biasa ini yang turut melanda dan memberi kesan kepada rantaian bekalan dunia dan negara.

“Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran.

“Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan penyaluran aduan, orang ramai khususnya rakyat Sabah boleh buat ke talian Whatsapp di 019 279 4317, aplikasi ez-Adu atau melalui emel ke [email protected],” katanya.

  • oleh
  • Advertisement