Anda di sini

Pasaran getah dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan lengang minggu depan dalam dagangan jajaran kecil berikutan ketidaktentuan yang disebabkan oleh kemunculan varian baharu COVID-19, Omicron. 

Bekas presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia Denis Low berkata beliau menjangkakan keadaan pasaran yang tidak menentu dan aktiviti perniagaan yang kurang rancak buat sementara waktu ini dengan pergerakan perjalanan yang terhad. 

“Pasaran akan dipengaruhi oleh aktiviti yang tidak aktif disebabkan oleh penemuan varian baharu itu yang menyebabkan aktiviti dunia terhenti seketika dan menilai semula pandemik ini,” katanya kepada Bernama.  

Meskipun musim hujan berterusan dan pengeluaran getah yang rendah, permintaan dan harga getah masih dalam jajaran kecil, kata Low.

“Harga dan permintaan akan ditentukan oleh aktiviti menyimpan stok menjelang musim monsun. 

“Tumpuan telah beralih kepada pembendungan varian baharu itu dan sebarang program pemulihan ekonomi akan ditangguhkan buat seketika pada masa ini,” katanya. 

Bagi minggu yang baru berakhir ini, pasaran ditutup kebanyakannya tinggi, seiring dengan pasaran niaga hadapan getah serantau, penurunan ringgit dan peningkatan harga minyak mentah. 

Bagi asas mingguan, harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) susut  21 sen kepada 726.0 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 7.5 sen kepada 580.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutup LGM bagi SMR 20 berada pada 720.0 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 580.5 sen sekilogram.

Pasaran ditutup pada Jumaat berikutan cuti umum bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sempena meraikan kejayaan pasukan Kuala Lumpur City F.C memenangi kejohanan Piala Malaysia. -BERNAMA
 

Advertisement