Anda di sini

Muka baharu GPS di Ba'kelalan

Advertisement
 

LAWAS: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempertaruhkan muka baharu di kerusi panas Ba'kelalan, Sam Laya (gambar), 55, anak jati Lun Bawang dari Long Sukang. 

Sam yang merupakan seorang peguam, juga Setiausaha Parti Demokratik Progresif (PDP) Ba'kelalan. 

"Pertama sekali saya mahu mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) kerana memberi kepercayaan kepada saya dan memilih saya sebagai calon GPS di N81 Ba'kelalan. 

"Saya memang sedar bahawa ini adalah satu tanggungjawab yang berat, saya tahu terlalu banyak yang perlu dibuat untuk Ba'kelalan dan saya berjanji akan menunaikan tanggungjawab ini untuk memenangi kerusi N81 Ba'kelalan," katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Sam turut berterima kasih kepada Presiden PDP, Dato Seri Tiong King Sing yang memberi sokongan penuh kepada beliau. 

"Saya juga berterima kasih kepada Ketua Pergerakan Pemuda PDP Robert Ayu yang sentiasa bersama saya dalam misi ini. 

"Beliaulah orang yang mencadangkan nama saya kepada pucuk pimpinan PDP dan bukan saja mencadangkan tetapi terus bergerak ke seluruh kawasan Ba'kelalan bersama saya sehingga ke hari ini. 

"Terima kasih juga kepada penyokong yang sentiasa setia kepada GPS," ujarnya. 

Sam berkata perjuangan baharu bermula dan beliau menjemput semua komponen GPS di Ba'kelalan bersatu dan bekerjasama untuk GPS. 

"Saya mempelawa saudara Libat Langub untuk berkerjasama dalam perjuangan ini. Saya percaya perjuangan kami berdua adalah sama," gesanya. 

Sam dijangka akan bertemu empat pencabar lain bagi kerusi tersebut iaitu Ahli Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Martin Labo, Parti Bumi Kenyalang (PBK) Peter Asut dan calon bebas yang juga bekas Ketua Wanita PKR Sarawak Agnes Padan. 
 

  • oleh
  • Advertisement