Anda di sini

MAVCOM laksana RAS di Sabah, Sarawak

Advertisement
Abang Johari (kiri) menerima tanda penghargaan yang disampaikan oleh Hanifah (kanan) sambil diperhatikan (dari dua kiri) Ismail Sabri, Wee dan Fatimah.
Abang Johari (kiri) menerima tanda penghargaan yang disampaikan oleh Hanifah (kanan) sambil diperhatikan (dari dua kiri) Ismail Sabri, Wee dan Fatimah.

MUKAH: Kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan melaksanakan rasionalisasi perkhidmatan udara luar bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak yang disediakan MASwings.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini adalah sebagai salah satu usaha kerajaan bagi memastikan kemudahan ini dapat dinikmati oleh penduduk di kawasan luar bandar pada tahap yang terbaik.

"Rasionalisasi ini melibatkan kajian semula objektif RAS, implikasi kewangan yang terlibat, laluan dan kekerapan penerbangan RAS, kadar tambang yang dikenakan, pesawat yang diguna pakai dan mekanisme pemberian subsidi kepada pengguna perkhidmatan ini dari masa ke semasa," jelasnya ketika merasmikan Lapangan Terbang Baharu Mukah di sini, hari ini.

Lapangan Terbang Baharu Mukah itu telah mula beroperasi pada 17 Jun 2021. 

Projek pembinaan lapangan terbang tersebut dimulakan sejak 11 Ogos 2017 menggantikan STOLport Mukah dengan kapasiti baharu iaitu 265,000 penumpang setahun.

Perdana Menteri berkata, MASwings telah mula menyediakan perkhidmatan udara luar bandar (Rural Air Services – RAS) di Sarawak dan Sabah 2008 melalui Perjanjian RAS yang ditandatangani pada 3 Julai 2008.

"Berdasarkan Perjanjian PSO for RAS ini, MASwings menyediakan perkhidmatan bagi 40 laluan mulai di Sarawak dan Sabah dengan menggunakan pesawat ATR72 dan Twin Otter Viking.

"Bagi laluan Mukah sendiri, MASwings menyediakan 4 perkhidmatan penerbangan menggunakan pesawat twin otter iaitu laluan Kuching – Mukah dengan kekerapan 28 penerbangan seminggu, Miri – Mukah dengan kekerapan 7 penerbangan seminggu, Sibu – Mukah dengan kekerapan 3 penerbangan seminggu dan Bintulu – Mukah dengan kekerapan 2 penerbangan seminggu," jelasnya.

Berhubung Lapangan Terbang Baharu Mukah, Ismail Sabri berkata, pembinaannya akan merancakkan peluang ekonomi yang dapat memberi impak berganda dan berangkai kepada penduduk di Mukah serta keluarga Malaysia amnya.

Ia juga dilihat akan menyediakan sokongan bagi aktiviti-aktiviti di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang bakal mewujudkan jaringan ekonomi yang lebih efektif dan efisyen kelak.

"Lapangan terbang baharu ini dilengkapi dengan kemudahan bangunan terminal baharu, landasan sepanjang 1,500 meter yang boleh digunakan oleh pesawat jenis ATR berkemampuan membawa penumpang lebih ramai berbanding hanya pesawat Twin Otter sebelum ini," ujarnya.

Dengan status yang telah ditambah baik, katanya, Lapangan Terbang Baharu Mukah kini boleh mengendalikan lebih banyak penumpang yang akan mengukuhkan kedudukan Mukah sebagai penyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak.

"Lapangan terbang bukan sahaja menjadi tempat untuk pesawat mendarat dan berlepas malahan ianya adalah gerbang untuk pengangkutan penumpang serta barangan ke pelbagai destinasi yang sememangnya berkait rapat dengan kegiatan ekonomi," jelasnya.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa bangga projek lapangan terbang itu dapat disiapkan walaupun ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19. 

"Ini bukan sahaja satu pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan, malah mengukuhkan lagi pencapaian Malaysia dalam sektor pengangkutan.

"Ia sememangnya satu pencapaian yang signifikan bagi Malaysia dan mencerminkan kejayaan serta kemajuan yang bakal kita capai sebagai sebuah negara selain simbol sebagai simbol rakyat Malaysia yang bersatu-padu," katanya.

Hadir sama Ketua Menteri Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, Speaker Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pengangkutan Negeri Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Dato Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Sum Agong.
 

  • oleh
  • Advertisement