Anda di sini

MAVCOM diarah kaji penerbangan tambahan ke Limbang, Lawas

Advertisement
 

MIRI: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah diarahkan mengkaji kemungkinan penerbangan tambahan yang menghubungkan ke Limbang dan Lawas berikutan dengan permintaan rakyat terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) ini.

Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (gambar) berkata, meningkatkan kebolehcapaian orang ramai untuk melakukan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat adalah menjadi keutamaan.

“Kita akan beri perhatian kepada (permintaan) itu. Kita juga perlu melihat keperluan dan akan disegerakan setelah meneliti perkara berkenaan.

“Bagi MAVCOM, tiada isu mengenainya. Malah, adalah penting untuk mempunyai hubungan baik dan mengekalkan responsif kepada keperluan rakyat,” jelasnya.

Wee berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Pejabat Laut Miri di sini pada Jumaat.

Penjelasan berkenaan bagi menjawab soalan mengenai peningkatan permintaan rakyat untuk lebih banyak penerbangan ke Limbang dan Lawas berikutan dengan penutupan sempadan negara jiran Brunei yang berpanjangan dan satu-satunya cara untuk ke Limbang dan Lawas dari Miri adalah melalui pengangkutan udara.

Menurut Wee, MAVCOM di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia juga telah diarahkan bagi meneliti tambang penerbangan oleh syarikat penerbangan dalam tempoh PRN12.

“Sebelum ini, akibat pandemik penerbangan terpaksa dikurangkan atas permintaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), dan sekarang penerbangan telah dinaikkan secara berperingkat dengan jumlah 307 penerbangan dalam tempoh seminggu.

“Manakala, tambang penerbangan oleh syarikat penerbangan yang berkaitan juga dipantau,” katanya.

Jelas beliau, daripada laporan (MAVCOM) yang diterima pada dua hari lepas, menunjukkan trend penurunan tambang penerbangan (ke Kuching) di antara 11 dan 31 Disember.

Bagaimanapun katanya, penerbangan ke Sibu, Bintulu dan Miri akan memerlukan lebih kekerapan.

“Kita akan melihat sama ada ia mencukupi untuk 307 penerbangan dalam tempoh seminggu ke (seluruh) Sarawak. Ini juga untuk memastikan bekalan dan permintaan mencapai keseimbangan. 

"Apabila bekalan berkurangan, maka tambang penerbangan akan naik. Malah,  penting untuk kita mencari jalan bagi mencapai keseimbangan terbabit,” tambahnya.
 

  • oleh
  • Advertisement