Anda di sini

Jawatankuasa kerja ditubuh kenal pasti pelbagai isu

Advertisement
 Dr. Joachim (tengah) mempengerusikan Mesyuarat   Penubuhan  Jawatankuasa   Kerja Sosioekonomi Peringkat Negeri Sabah di Bilik Mesyuarat Perdana, UPEN, Menara Kinabalu.
BINCANG: Dr. Joachim (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Penubuhan Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Peringkat Negeri Sabah di Bilik Mesyuarat Perdana, UPEN, Menara Kinabalu.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam mempengerusikan Mesyuarat Penubuhan  Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Peringkat Negeri Sabah di Bilik Mesyuarat Perdana, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Menara Kinabalu, kelmarin.

Mesyuarat bertujuan membincang penubuhan Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Peringkat Negeri untuk meneliti isu/permasalahan dihadapi Kerajaan Negeri berhubung sektor  ekonomi, kesihatan, pendidikan, infrastruktur, pentadbiran awam/borneonisasi, utiliti awam antaranya air, elektrik, komunikasi serta isu kadar kemiskinan.

Dr. Joachim berkata jawatankuasa kerja itu merupakan salah satu lagi saluran mengutarakan keperluan Kerajaan Negeri selain daripada cara yang sedia dipraktikkan.

UPEN akan menjadi Urusetia Mesyuarat Jawatankuasa  Kerja Sosioekonomi Peringkat Negeri.

“Perkara atau isu yang dibincang dalam Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Peringkat   Negeri ini nanti akan diangkat dan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Dato’ Sri   Mustapa Mohamed, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).  

“Perkara atau isu yang dibincangkan dalam Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi Peringkat Persekutuan itu akan dimaklumkan kepada MKMA63 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia untuk tindakan sewajarnya oleh pihak yang berkaitan.

“Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi MKMA63 adalah untuk meneliti perkara dan isu penting yang sering dibangkitkan berkaitan hal ehwal Sabah dan Sarawak,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dalam kenyataan media, kelmarin.

Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Rosmadi Sulai dan Timbalan Pengarah (Makro) UPEN, Robert Stidi.

Advertisement