Anda di sini

Hotspurs temui semula rentak: Conte

Advertisement
Babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Hotspurs dan Brentford yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur di London. — Gambar AFP
Babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Hotspurs dan Brentford yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur di London. — Gambar AFP

LONDON: Antonio Conte berkata Tottenham sudah mula memahami falsafahnya selepas Son Heung-min menjaringkan gol Liga Perdana pertamanya sejak Oktober, mengunci kemenangan 2-0 ke atas Brentford semalam.

Pasukan Conte ditewaskan 1-2 oleh pasukan tercorot Slovenia, NS Mura dalam Liga Konferensi Europa minggu lalu.

Digegarkan dengan kekalahan tersebut, minggu ini Conte mengakui tugasnya di Tottenhem merupakan “cabaran terbesar buat saya. Kelab ini dalam tahun-tahun lepas, telah hanyut”.

Sementara Tottenham masih perlu diperbaiki oleh jurulatih Itali itu, Conte berbangga dengan persembahan paling mantap mereka setakat ini. 

Gol sendiri Sergi Canos memberi Tottenham pendahuluan separuh masa pertama, diikuti gol selepas rehat Son yang menjamin kemenangan kedua berterusan mereka dalam Liga Perdana.

Ini merupakan gol ke-75 Son dalam divisyen utama sejak menyertai pasukan London itu daripada Bayer Leverkusen pada 2015.

Tottenham melonjak ke tangga keenam selepas tidak tewas sepanjang tiga perlawanan bawah kendalian Conte sejak menggantikan posisi Nuno Espirito Santo pada November.

“Ia prestasi yang mantap menentang pasukan yang kuat. Saya berpuas hati kerana saya menyaksikan komitmen dan semangat daripada pemain-pemain. Ia reaksi yang baik,” kata Conte.

“Pemain-pemain mula memahami falsafah saya. Kami boleh bermain dengan lebih baik ketika memiliki bola dan gol kedua amat bagus.

“Tiga mata amat bermakna untuk keyakinan. Kami telah memulakan perjalanan baharu. Anak-anak buah telah menunjukkan keinginan untuk mengubah keadaan.”

Masih membimbangkan Tottenham, Harry Kane tidak memberi impak sepanjang perlawanan. 

Pemain England itu hanya menjaringkan satu gol Liga Perdana musim ini, manakala hanya dua dalam 10 penampilan semua pertandingan. 

“Saya tidak risau akan Kane. Dia bermain dengan baik. Dia mengambil kedudukan penyerang dan menjadi titik rujukan,” kata Conte.

“Pemain seperti ini yang bermain dengan komitmen dan semangat membuat saya gembira. Tidak kisah sama ada dia menjaringkan gol, selagi dia bermain dalam rentaknya.”

Tottenham tewas dalam keempat-empat perlawanan tempatan London mereka, tetapi kini memperbetulkan keadaan pada minit ke-12.

Son mengumpan kepada Ben Davies namun halangan daripada pemain Brentford Pontus Jansson melantun kepada Canos lalu memasuki gol.

Asakan pasukan Conte membuahkan hasil dengan gol kedua pada minit ke-65.

Kane berganding dengan Sergio Reguilon, dan umpanan pemain itu tepat pada masanya untuk dijaringkan oleh Son untuk gol keenam kelabnya musim ini. — AFP
 

Advertisement